KUALA LUMPUR 18 Jun – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos (gambar) disahkan layak untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda dalam pemilihan parti kali ini meskipun beliau sedang diburu polis.
![]() |
|
JAMAL MD. YUNOS
|
Ketua Setiausaha Bahagian, Ibu pejabat UMNO, Datuk Norazuwan Aziz berkata, selagi tidak dibuktikan bersalah dan tiada pendakwaan terhadapnya, Jamal masih layak bertanding jawatan tersebut.
“Kesemua calon yang diumumkan hari ini perlu melepasi semakan kelayakan bertanding dan semakan Jabatan Insolvensi.
“Dalam kes Jamal, selagi beliau tidak dibuktikan bersalah dan tiada pendakwaan dikenakan, beliau masih boleh bertanding jawatan itu,” katanya ketika ditemui selepas proses cabutan nombor calon bagi pemilihan UMNO di Menara Datuk Onn di sini hari ini.
Jamal tersenarai dalam sembilan calon Ketua Pemuda yang bakal bertanding dalam pemilihan UMNO termasuk Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.
Jamal sebelum ini dilaporkan menghilangkan diri selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.
Sementara itu, sembilan calon bakal merebut jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dan sebanyak 207 calon bertanding untuk jawatan Exco Pemuda UMNO.











