KOTA KINABALU – Syarikat gedung fabrik terkenal, Jakel Trading Sdn. Bhd. (Jakel) cawangan Sabah meneruskan komitmen tanggunjawab sosial korporat (CSR) dengan menaja potongan diskaun sehingga 50 peratus bagi setiap item kelengkapan hari raya di gedung itu.
Potongan eksklusif itu dinikmati 24 pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) yang kurang berkemampuan ketika membeli-belah di gedung tersebut hari ini.
Pengarah Projek merangkap Pengurus Jakel cawangan Sabah, Muhammad Aizad Shamsuddin berkata, program kerjasama dengan warga SSMS itu menyasarkan penerima dalam kalangan yatim piatu dan fakir miskin.
“Tajaan ini merupakan tahun keempat kami menjalinkan kerjasama dengan warga SSMS membawa pelajar yang kurang berkemampuan untuk membeli-belah di Jakel.
“Pihak Jakel menawarkan potongan diskaun sehingga 50 peratus bagi setiap item kelengkapan hari raya di gedung kami. Program CSR ini akan terus dilaksanakan untuk berkongsi kegembiraan perayaan Aidilfitri,” katanya di Program Sumbangan Hari Raya SSMS bersama Jakel di Jakel Silk House Kota Kinabalu di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan Jakel Sabah, Mohd. Amran Mohd Nor.
Sementara penyelaras program merangkap guru akademik SSMS, Hafizah Abdul Rahim berkata, kesemua pelajar berusia antara 11 hingga 17 tahun dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
“Keutamaan kita ialah dalam kalangan pelajar dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM1,000, kategori yatim piatu dan mereka yang memerlukan,” katanya.
Tambahnya, SSMS menerima dana daripada persendirian saban tahun pelaksanaan program yang sama sejak empat tahun lalu. – K! ONLINE











