ISU-ISU AKHBAR CINA - 21 JUN 2018 - Utusan Malaysia

ISU-ISU AKHBAR CINA – 21 JUN 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HALA TUJU UMNO
AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 14 Jun 2018 menyiarkan tulisan Cheah See Kian dalam ruangan Kolum ODN di halaman 49. Artikel yang bertajuk “Antara perjalanan UMNO dan perbalahan kepe­mimpinan” itu mengupas tentang masa depan UMNO serta kelangsungannya sebagai parti terbesar orang Melayu di negara ini.

Artikelnya itu turut menyentuh tentang pemilihan UMNO pada 30 Jun ini yang antaranya membincangkan calon-calon yang menawarkan diri untuk ber­tanding khususnya bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden serta sejarah pemilihan parti itu sebelum ini.

Umum mengetahui Tengku Razaleigh Hamzah pernah menentang Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden ketika berlakunya pemilihan parti pada 1987. Keputusannya, Dr. Mahathir menang dengan majoriti 43 undi. Dalam pemilihan tersebut Dr. Mahathir mendapat 761 undi manakala Tengku Razaleigh memperoleh 718 undi.

Dan untuk pemilihan UMNO pada 30 Jun ini nampaknya Ahli Parlimen Gua Musang itu mendapat desakan ahli UMNO akar umbi agar beliau sekali lagi bertan­ding merebut jawatan Presiden. Setakat ini hanya Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri bertanding dalam jawatan tersebut.

Sebab itu ramai pemerhati po­litik menyatakan, pemilihan UMNO kali ini akan berlaku satu ombak besar. Ini memandangkan Ahmad Zahid yang sebelum ini dilihat tiada pencabar besar kemungkinan akan berhadapan dengan saingan Tengku Raza­leigh.

Meskipun usia beliau telah mencecah Hamzah 81 tahun namun jika dibandingkan dengan umur Dr.Mahahir, Tengku Raza­leigh boleh dianggap lebih muda. Lagipun dari segi pengaruh, Tengku Razaleigh dalam arena politik tanah air dikatakan sebagai seorang individu yang paling sesuai untuk memimpin UMNO pada masa ini.

Difahamkan juga, dari selatan Johor sehingga ke utara Semenanjung sudah terdapat tanda-tanda ahli UMNO di peringkat akar umbi akan memberi soko­ngan kepada Tengku Razaleigh. Beliau dilihat mampu memberikan suntikan baharu kepada UMNO.

Seperkara lagi keberadaan beliau dalam UMNO tidak akan menjadikan parti itu sebagai parti pelbagai kaum. Malah penulis artikel ini percaya, Tengku Razaleigh akan menyusun semula perpaduan orang Melayu untuk berdepan dengan saingan Pakatan Harapan pada beberapa siri pilihan raya akan datang.

Mengupas lebih lanjut tentang penolakan terhadap cadangan membuka keahlian kepada bukan Melayu, Tengku Razaleigh sebelum ini pernah membuat bantahan dengan menyatakan UMNO hanya untuk orang Melayu. Beliau mahu wajah itu dikekalkan sampai bila-bila.

Tambahan pula kata Tengku Razaleigh, cadangan itu bukan sesuatu yang baharu tetapi pernah dikemukakan sebelum ini oleh Presiden UMNO pertama, Allahyarham Datuk Onn Jaafar tetapi cadangan tersebut tidak mendapat sokongan sehingga hari ini.

Malah Dr. Mahathir juga pernah membantah cadangan supaya keahlian UMNO dibuka kepada kaum lain. Disebabkan beliau menjurus kepada pemi­kiran yang sebegitu, tidak hairanlah dasar utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Dr. Mahathir tetap hanya untuk orang Melayu dan apa yang boleh dikatakan, dasar PPBM tidak jauh berbeza dengan UMNO.

 

KEWAJARAN KAJI SEMULA PROJEK MEGA

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 11 Jun pula memaparkan tulisan Sun Ho Seng dalam rua­ngan Kolum ODN yang mengupas isu projek-projek mega yang diba­ngunkan oleh kerajaan terdahulu antaranya Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Menggunakan tajuk Bermulanya pembatalan landasan HSR, Ho Seng berpandangan kajian semula terhadap semua projek mega seperti ECRL. HSR dan MRT3 perlu dilakukan selepas kerajaan mengumumkan beban hutang negara yang terlalu tinggi sebelum ini.

Mahu tidak mahu kerajaan wa­jar melakukan semakan se­mula terhadap projek-projek mega berkenaan terutama melibatkan pemberian tender yang tidak te­lus. Selain itu antara perkara lain yang perlu diberikan tumpuan adalah mengenai keberkesanan modal yang dikeluarkan.

Sebagai contoh projek ECRL. Projek ini membabitkan landasan kereta api sepanjang 688 kilo­meter dengan kos sebanyak RM55 bilion. Jika dibandingkan antara nisbah kos dengan jangkaan bilangan penumpang, projek ini boleh dipertikai dan mungkin boleh mengundang kontroversi.

Ini kerana dengan nisbah jumlah penduduk keseluruhan di Pantai Timur, kadar penggunaannya boleh dianggap rendah. Seperkara lagi, jika pengangkutan barangan atau kargo dikatakan mampu menampung kos pe­ngangkutan penumpang, faktor kerosakan dan kehilangan bara­ngan mungkin boleh menjejaskan pendapatan. Adalah lebih berbaloi jika kargo menggunakan jalan laut.

Begitu juga dengan projek HSR. jika dilihat dari sudut keseimbangan pembangunan dan model ekonomi, pelaksanaan HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura sudah tentu akan menjejaskan pendapatan kutipan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Tidak terkecuali projek HSR itu juga boleh menjejaskan segmen pengangkutan kargo udara.

Bagaimanapun tidak dinafikan projek HSR itu ada kebaikannya yang menjuruskan kepada penyediaan alternatif pengangkutan darat untuk ke Singapura. Lihat sahaja penyediaan HSR di beberapa ibu kota dunia seperti di Jepun, Taiwan termasuk China iaitu bagaimana penyediaan perkhidmatan kereta api laju ini memberi kesan positif terhadap sektor pe­ngangkutan darat terutama dalam konteks kepantasan masa.

Bahkan, jumlah penum­pangnya begitu tinggi terutama di China. Justeru, sekiranya kos penyediaan dan pembangunan HSR antara Kuala Lumpur-Singapura berpatutan, ada baiknya cada­ngan itu tidak diketepikan begitu sahaja. Tambahan pula projek ini berpotensi memberikan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN