Imbauan gempa bumi dahsyat di utara Iran - Utusan Malaysia

Imbauan gempa bumi dahsyat di utara Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA puluh lapan tahun yang lalu, Shakineh Shevediny pernah berhadapan dengan detik-detik cemas apabila dia terperangkap di balik runtuhan rumah dalam kejadian gempa bumi terbesar di Iran.

“Ketika kejadian, saya berjaya memboloskan diri dan keluar daripada runtuhan tersebut.

“Pada waktu itu hanya saya dan beberapa orang jiran sahaja berdiri di atas runtuhan rumah itu. Sa­yup-sayup, saya terdengar jeritan kakak di balik timbunan tersebut.

“Mujur ketika kejadian pasukan penyelamat berada di kawasan berdekatan. Selepas hampir dua jam mereka menggali, kakak dan beberapa orang mangsa yang lain selamat dikeluarkan,” jelasnya.

Mengimbau kembali kenangan pahit menjadi mangsa gempa bumi pada tahun 1990, cerita Shakineh, dia yang pada waktu itu berusia 16 tahun berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital bersama puluhan mangsa lain yang terselamat.

“Hospital tersebut dipenuhi ribuan mangsa yang terselamat. Raungan kesakitan jelas kedengaran di sana sini.

“Biarpun terselamat, perasaan sedih masih menyelubungi diri setiap kali tibanya tarikh 20 Jun. Lebih-lebih lagi apabila me­ngenangkan datuk dan tiga orang adik yang tidak dapat diselamatkan dalam kejadian itu,” jelasnya.

Gempa kuat

Shakineh merupakan salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter yang berlaku di Iran.

Difahamkan, gegaran gempa bumi yang berlaku pada pukul 12.30 pagi tanggal 20 Jun 1990 itu bermula di kawasan sekitar Universiti Tehran.

Agensi berita Republik Islam, Irna berkata, pada waktu itu, seramai 29,000 orang terbunuh dan 28,000 cedera dalam kejadian gempa bumi yang melanda kawasan di utara negara tersebut.

Bagaimanapun, 12 jam kemu­dian, negara tersebut sekali lagi dilanda dengan gempa bumi susulan yang berukuran 6.5 pada skala Richter dan diikuti dengan lebih 100 gempa bumi kecil yang lain.

Ekoran gegaran luar biasa itu, lebih 100,000 penduduk mati, manakala 500,000 yang lain dilaporkan tercedera.

Difahamkan, gempa tersebut melenyapkan daerah Zanja, Gilan dan kawasan pantai di Laut Kaspian.

Kawasan-kawasan tersebut padat dengan gunung-ganang, ladang berbukit dan resort percutian.

Susulan kejadian gempa itu, pihak berkuasa menggunakan pelbagai sumber seperti jentolak, cangkul, kren, tangan dan anjing pengesan untuk menggali serta mencari mangsa-mangsa di sebalik runtuhan rumah yang musnah.

Rayu bantuan

Menurut salah seorang anggota pasukan penyelamat yang terlibat dalam kerja-kerja penca­rian di daerah Gilan, disebabkan tiada jalan dan kesukaran untuk membawa keluar mangsa, pihak berkuasa terpaksa meratakan runtuhan tanah bagi membina laluan untuk menyelamatkan mangsa, sekali gus mengabaikan mangsa-mangsa yang tertanam di dalam tanah tersebut.

“Keseluruhan kampung di Gilan telah diratakan dan kami terpaksa mengandaikan seolah-olah mereka tidak pernah berada di sana.

“Kami tidak mempunyai pilihan lain kerana jalan raya disekat oleh batu-bata dan tanah yang terkambus,” jelasnya.

Presiden Iran pada waktu itu, Akbar Hashemi Rafsanjani berdiri di samping helikopter di desa Rudbar yang musnah untuk merayu bantuan antarabangsa.

Dalam pada itu, Menurut Pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah, seramai 3,000 pekerja bantuan terlatih dan 3,000 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan te­lah di­terbangkan ke kawasan yang teruk terjejas di bahagian utara Tehran dengan melibatkan 50 pener­bangan.

Lapangan terbang Tehran sibuk dengan sukarelawan-sukarelawan dari dalam dan luar negara yang cuba mencapai zon gempa.

Biarpun musnah teruk, namun Iran berjaya membangunkan se­mula kawasan-kawasan yang teruk dilanda gempa setelah mene­rima bantuan dari Perancis, Britain, Jepun, Israel, Syria, Finland, Sweden, Arab Saudi, Turki, Greece, Belanda, Poland dan negara-negara lain.

Gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter yang berlaku di Iran tanggal 20 Jun 1990 menyebabkan lebih 100,000 penduduk maut, manakala 500,000 individu lain dilaporkan tercedera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN