Hukuman mati mandatori dinilai semula - Utusan Malaysia

Hukuman mati mandatori dinilai semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan akan menilai semula keperluan untuk meminda undang-undang berkaitan hukuman mati mandatori yang dilaksanakan di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pindaan itu juga perlu dipertimbangkan sekiranya bekas pegawai polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 ingin pulang ke negara ini bagi menjadi saksi kes tersebut.

“Langkah ini juga bertepatan jika Sirul mahu pulang ke Malaysia untuk menjadi saksi kes yang melibatkan dirinya.

“Malah dikatakan kerajaan­ Australia tidak boleh me­ngeks­tradisi mana-mana pe­salah yang mencari pelindungan di negara itu untuk pulang ke Malaysia ke­rana ada hukuman mati mandatori dilaksanakan di sini. Itu ada dibincangkan dan kita perlu ubah undang-undang negara,” kata­nya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan EduWAQF iaitu wakaf pendidikan hasil inisiatif AWQAF Holdings Bhd. di Pusat Konvensyen Bangi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi AWQAF Holdings Bhd., Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir dan Pemangku Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Mohammad Sahar Mat Din.

Jelas Dr. Wan Azizah, kerajaan menerusi mesyuarat Kabinet yang lalu juga mengambil keputusan untuk menangguhkan hukuman terhadap 17 banduan berkaitan dadah yang berada di dalam senarai untuk menghadapi hukuman gantung.

“Kerajaan Barisan Nasional ju­ga sebelum ini telah buat keputusan untuk menangguhkan hukuman terhadap banduan-banduan tersebut dan kami akan meneruskan keputusan berkenaan,” katanya.

Kerajaan Australia sebelum ini menolak ekstradisi Sirul kerana melanggar undang-undang negara itu yang tidak akan menghantar pulang seseorang yang berdepan dengan hukuman mati.

Malah, Sirul juga dikatakan bersedia untuk membantu kerajaan Pakatan Harapan bagi memberitahu apakah sebenarnya berlaku sekiranya diberikan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN