Harry, Meghan lawat 4 negara Komanwel mulai Okt. - Utusan Malaysia

Harry, Meghan lawat 4 negara Komanwel mulai Okt.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 11 Jun – Putera Harry dan isteri, Meghan Markle akan melawat Australia, Fiji, Tonga dan New Zealand lewat tahun ini sebagai lawatan luar negara pertama mereka sebagai pasangan suami isteri.

Istana Kensington berkata, lawatan pasangan yang menerima gelaran Duke dan Duchess of Sussex selepas melangsungkan perkahwinan bulan lalu adalah secara kebetulan bersamaan de­ngan penganjuran Sukan Invictus di Sydney, Oktober ini.

Harry anak kedua kepada pe­waris takhta Putera Charles me­ngasaskan kejohanan sukan glo­bal bagi anggota tentera yang sakit dan cedera selepas sedekad menyertai tentera.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesemua empat negara itu merupakan anggota Komanwel yang disertai 53 negara dengan Harry bertindak sebagai duta belia.

Harry mengikuti jejak langkah ibu bapa mereka selepas Charles dan Puteri Diana melawat Australia dan New Zealand semasa lawatan pertama luar negara mereka sebagai pasangan suami isteri.

Malah Charles berada di Australia awal tahun ini bagi merasmikan majlis pembukaan Sukan Komanwel yang merupakan lawatan ke-16 ke negara tersebut.

“Duke dan Duchess of Sussex akan mengadakan lawatan rasmi ke Australia, Fiji, Tonga dan New Zealand pada musim luruh ini.

“Mereka telah dijemput untuk melawat Australia dan New Zealand oleh kerajaan negara ber­kenaan.

“Duke dan Duchess juga akan mengunjungi dua lagi negara Komanwel iaitu Fiji dan Tonga atas permintaan Pejabat Luar dan Komanwel, dengan lawatan itu berlaku ketika penganjuran Sukan Invictus, Sydney 2018,” kata Istana Kensington.

Sementara itu, Australia dan New Zealand menyambut baik lawatan tersebut dengan menyifatkan kedua-dua negara akan mengalu-alukan pasangan diraja berkenaan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini