KUALA TERENGGANU 21 Jun – Soal siapa yang bakal menerajui kepemimpinan UMNO Bahagian Kuala Nerus ketika dalam kalangan UMNO semakin memperkatakan soal perubahan merupakan antara yang paling menarik perhatian di negeri ini dalam pemilihan parti, akhir bulan ini.
![]() |
|
AHMAD RAZIF
|
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang awalnya menyatakan kesediaan untuk memberi laluan jika dicabar oleh kalangan yang mampu memberi nafas baharu kepada parti bagaimanapun dikatakan kembali memutuskan untuk bertanding.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar dan masih kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir akan mempertahankan jawatan buat penggal kedua, dan kali ini akan dicabar Naib Ketua UMNO bahagian, Apli Yusoff.
Ahmad Razif merupakan calon tunggal Barisan Nasional (BN) yang menang dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mengulangi pencapaian BN dalam PRU-13.
Beliau merupakan antara tujuh daripada lapan Ketua UMNO bahagian yang akan dicabar manakala Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat merupakan calon tunggal yang memenangi jawatan itu tanpa bertanding.
Rozi yang juga bekas Exco kerajaan negeri memangku jawatan itu menggantikan bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari yang meletak jawatan setelah digugurkan daripada bertanding dalam PRU-14.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO negeri, Datuk Muda Mamat ketika dihubungi mengesahkan senarai pencalonan yang diterima.
“Walaupun begitu, kemungkinan besar ada yang menarik diri, jadi saingan sebenar belum dapat dipastikan.
“Kalangan yang menawarkan diri untuk bertanding di semua jawatan tertinggi di peringkat bahagian termasuk jawatan di peringkat sayap masih berpeluang menarik diri,”ujarnya.
Seorang lagi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemamsn pula akan dicabar dua calon lain, Ahmad Abdullah dan Mat Dalam Awang.
Di bahagian Besut pula, Nawi Mohamad yang akan mempertahankan jawatan dicabar oleh Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian, Ghazali Che Noh.
“Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Sabri Mohd Noor yang menawarkan diri bertanding selepas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Mohd Jidin Shafie mengumumkan tidak bertanding pula akan dicabar oleh bekas Ahli Jawatankuasa bahagian, Mohd Zaimi Abd Ghafar.
“Di samping itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang menawarkan diri bertanding selepas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Mohd Sabri Alwi melepaskan jawatan akan disaingi oleh bekas Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian, Ahmad Fanizar Md Tahar.
“Ketua UMNO Bahagian Marang, A Latiff Awang yang mengesahkan bertanding mempertahankan jawatan akan dicabar tiga calon lain termasuk bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Yahya Khatib Mohamad,”ujarnya.
Menurut Muda, dua lagi calon ialah Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Nik Dir Wan Ku dan Abdul Mutalib Samion.
Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Din Adam yang akan mempertahankan jawatan bakal dicabar oleh ADUN Bukit Besi, Roslee Daud, calon tunggal BN dalam Parlimen Dungun yang menang dalam PRU-14.-UTUSAN ONLINE











