Hajat makan malam musnah - Utusan Malaysia

Hajat makan malam musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN – Hasrat lima sekeluarga untuk makan malam di Pekan Serkat selepas membeli keperluan harian di bandar Pontian tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Pontian–Kukup dekat Pekan Telok Kerang di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 10.10 malam itu seorang ibu dan anaknya yang menaiki kereta Proton Iswara meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi penumpang mengalami kecederaan.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Norasmah Ab. Karim, 37, dan anak bongsunya, Muhammad Azqullah Azhar berusia empat tahun.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, tiga yang cedera pula iaitu pemandu yang juga suami kepada arwah Norasmah, Azhar Zainal, 38, ibu Norasmah, Noraini Sulaiman, 60 dan anak pasangan tersebut, Muhammad Aizat Azhar, 10 tahun.

“Kemalangan tersebut membabitkan Proton Iswara dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang warga Bangladesh.

“Siasatan awal mendapati ketika sampai di persimpangan empat Telok Kerang kenderaan pacuan empat roda dari arah Pekan Nanas ke Kukup gagal berhenti sebelum ia berlanggar dengan Proton Iswara,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Mustafa Bakri, selain pemandu, turut berada dalam kenderaan pacuan empat roda tersebut ialah seorang perempuan Melayu, seorang lelaki Bangladesh dan seorang lelaki India yang beralamat di Taman Teratai dan Taman Universiti, Johor Bahru.

Katanya, suami Norasmah yang bekerja sebagai pembantu kedai di Pekan Serkat di sini mendapat kecederaan pada bahagian kepala telah dihantar ke Hospital Pontian bagi mendapat rawatan lanjut termasuk Noraini dan Muhammad Aizat.

Tambahnya, pemandu pacuan empat roda warga Bangladesh akan dikenakan tahanan reman di Mahkamah Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kosmo! difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa yang tinggal di Kampung Serkat Timur memandu kereta dari Pontian ke Pekan Serkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN