Hafizh tak sabar gegar GP Catalan - Utusan Malaysia

Hafizh tak sabar gegar GP Catalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS sah menyertai pasukan Tech3 semusim lagi, pelumba terbaik negara, Hafizh Syahrin Abdullah tidak sabar untuk turun beraksi menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Catalan meskipun terpaksa mengetepikan keseronokan menyambut Hari Raya Aidilfitri di tanah air.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu perlu mengorbankan kegembiraannya apabila dia perlu beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar de Barcelona-Catalunya, Montmelo selepas 1 Syawal dijangka pada Jumaat ini ketika sesi latihan pertama berlangsung.

Bagaimanapun, Hafizh ter­nyata sedia memberikan komitmen sepenuhnya menjelang perlumbaan pusingan ketujuh apabila melakukan persiapan rapi dengan mengadakan sesi latihan di Litar D’osona, Barcelona bersama pasukan SIC Racing Team.

“Saya sudah bersiap sedia menjelang perlumbaan GP Catalan hujung minggu ini dan ia seperti perlumbaan kedua di laman sendiri kerana saya menetap di Sepanyol untuk tempoh yang lama.

“Litar ini juga salah sebuah trek kesukaan saya kerana sebelum ini kami telah me­lakukan sesi percubaan di sini dan selepas itu kami beraksi di Mugello,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Hafizh me­ngakui ketika ini dia semakin mendapat rentak dengan pela­rasan jentera dan bersiap sedia untuk berjuang terutama bagi memburu tangga teratas ka­tegori pelumba rookie (baharu) terbaik.

“Ketika ini, saya mempunyai perasaan yang begitu baik de­ngan jentera dan mula memahami pelarasan yang digunakan ketika ini. Sudah pasti, saya tidak sabar untuk menunggu perlumbaan hujung minggu ini.

“Sudah pasti saya mahu mempamerkan aksi terbaik dan berjuang untuk muncul sebagai pelumba teratas dalam kategori rookie. Ketika ini, fizikal saya sangat baik dan bersiap sedia untuk ke Montmelo,” ujarnya.

Hafizh terus mengungguli carta sebagai pelumba roo­kie terbaik apabila menghuni kedudukan ke-16 dalam senarai keseluruhan, hanya dibezakan satu anak tangga dengan pelumba roo­kie dari Itali, Franco Mor­bidelli selepas masing-masing mengutip 17 mata ke­seluruhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN