KUALA LUMPUR 24 Jun – Grab Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pemandu syarikat itu, Aiman Nosri, 27, yang dibunuh dalam kereta miliknya di tempat meletak kenderaan di Taman Selayang Makmur, dekat sini.
Syarikat itu dalam satu kenyataan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang kuat bekerja dan merupakan seorang pemandu yang menunjukkan prestasi cemerlang selain menerima banyak maklum balas baik daripada para penumpang.
Kata syarikat itu, seluruh ahli keluarganya sentiasa berada dalam doa dan diingati syarikat selain berusaha untuk membantu apa yang terdaya pada waktu ini.
“Bagi pihak Polis Diraja Malaysia dan Grab Malaysia, kami memohon sesiapa sahaja supaya tidak sesuka hati berkongsi data peribadi berhubung Allahyarham di dalam media sosial atau membuat spekulasi serta menyebarkan khabar angin berhubung kejadian itu.
“Kami mahu menghormati perasaan keluarga selain siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Setelah dua hari dilaporkan hilang, mayat Aiman ditemukan dipercayai dibunuh di dalam kereta miliknya di tempat meletak kenderaan di Taman Selayang Makmur, dekat sini semalam.
Mayat pemandu yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu ditemukan kira-kira pukul 8.20 malam dalam keadaan tertiarap di tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi miliknya. – UTUSAN ONLINE










