MANCHESTER 21 Jun – Manchester United melengkapkan pembelian pemain tengah Brazil, Fred dari kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk dengan kontrak lima tahun, umum gergasi bola sepak Liga Perdana Inggeris itu hari ini.
Akhbar Britain hari ini melaporkan, United membayar 52 juta pound (RM276.11 juta) untuk pemain berusia 25 tahun itu.
“Ini adalah kelab terbesar di dunia dan saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada pasukan yang hebat.
“Dapat bekerjasama dengan (pengurus) Jose Mourinho, yang sudah memenangi banyak trofi sebagai jurulatih adalah peluang yang tidak boleh ditolak.
“Saya tidak sabar hendak memulakan aksi dan bertemu rakan-rakan baharu. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Shakhtar Donetsk atas segala-galanya yang telah mereka lakukan buat saya sepanjang lima tahun lalu,” kata Fred dalam laman web rasmi United.
Fred adalah sebahagian daripada skuad Brazil yang kini beraksi dalam Piala Dunia di Rusia, namun dia hanya memanaskan bangku simpanan ketika negara itu seri 1-1 dengan Switzerland dalam perlawanan pembukaan, Isnin lalu.
Dia perlu bersaing dengan Paul Pogba dan Nemanja Matic untuk merebut posisi tengah United musim depan, malah kehadirannya diharap mampu membantu Red Devils merampas kejuaraan Liga Perdana daripada Manchester City.
“Fred bakal melengkapi ciri-ciri pemain tengah kami yang lain. Apa yang kami perlukan adalah ‘pemikirannya yang kreatif dan kemampuan melakukan hantaran cantik’ untuk memberi dimensi baharu kepada permainan kami,” kata Mourinho.
Fred memenangi tiga kejuaraan Liga Ukraine sepanjang bersama Shakhtar, pasukan yang disertai pada 2013 selepas meninggalkan kelab Brazil, Internacional. – REUTERS










