Fiesta kuih raya di Blee - Utusan Malaysia

Fiesta kuih raya di Blee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali tiba musim perayaan, orang ramai akan sibuk membuat persediaan raya termasuklah membeli biskut dan kuih-muih untuk dihidangkan kepada tetamu ataupun sebagai buah tangan.

Memahami kesibukan dan kekangan waktu yang dihadapi oleh orang ramai, Blee menawarkan pembelian biskut dan kuih raya dalam talian.

Blee yang beroperasi menerusi platform e-dagang MyBazar menyediakan aneka kuih dan biskut raya di seluruh Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdapat 200 jenis kuih raya yang dihasilkan oleh 100 peniaga tempatan bermula 30 Mei hingga 17 Jun ini.

Antara pilihan biskut dan kuih yang dijual ialah seperti tart nanas, biskut suji, rempeyek, sarang semut, almond London dan kacang sembunyi.

Platform tersebut bukan sahaja memberi berita baik kepada pengguna tetapi turut menggembirakan hati peniaga kerana boleh menempatkan produk keluaran mereka di Blee.

Seorang peniaga, Suhada Bahar, 33, berasa bertuah kerana dapat memasarkan produknya di Blee sejak bulan lima lalu.

“Saya menghasilkan kacang sembunyi iaitu makanan tradisi dari Sabah sejak dua tahun lalu di rumah dengan dibantu oleh ibu.

“Blee banyak membantu memasarkan produk kacang sembunyi dan kos penghantaran kepada pembeli ditanggung sepenuhnya oleh platform tersebut,” jelas ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Wanita yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu memberitahu, dia mengetahui mengenai Blee apabila mengikuti program eUsahawan tahun lalu.

Tambahnya, platform yang disediakan oleh Blee dan eUsahawan banyak membantu memasarkan dan memperkenalkan produknya kepada orang ramai.

Akui Suhada, permintaan semakin bertambah saban hari dan sehingga kini produknya yang dikenali sebagai Izz Kacang Sembunyi Kota Kinabalu telah terjual lebih 100 unit.

Bagi meluaskan lagi pasaran produknya itu, Suhada turut merancang untuk melantik ejen-ejen di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran MyBazar, Aaliyah Soraya Darus berkata, Blee adalah program yang dicipta khusus untuk peniaga tempatan di bawah program eUsahawan yang menyediakan saluran merentasi sempadan untuk produk-produk tersebut menembusi pasaran setempat.

“Ia merupakan cetusan idea daripada program eUsahawan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Blee juga ditubuhkan untuk memenuhi keperluan penjual tempatan untuk menjaja barang dagangan dan memberi pengetahuan baharu kepada mereka mengenai perniagaan dalam talian.

“MyBazar dipilih sebagai syarikat e-dagang untuk meneraju program Blee ini,” jelasnya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini

eUsahawan adalah satu inisiatif kerajaan untuk mendidik usahawan tempatan tentang perniagaan dalam talian dan ekonomi digital.

Platform ini diwujudkan khusus untuk usahawan luar bandar memperaga dan menjual produk mereka di dalam negara pada harga berpatutan.

Ia juga merupakan satu saluran maya untuk produk-produk tersebut menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

Sempena Hari Raya bakal tiba tidak lama lagi, Blee melancarkan kempen Fiesta Kuih Raya untuk memberi peluang kepada orang ramai memborong kuih serta biskut raya di bawah satu bumbung.

Beliau berharap rakyat Malaysia tidak melepaskan peluang untuk memborong biskut raya dengan harga yang sangat berpatutan dan promosi menarik seperti RM10 untuk semua produk bagi tarikh tertentu.

Mengulas mengenai syarat untuk menjadi penjual di platform Blee, Aaliyah Soraya memberitahu, mereka perlu menyertai program eUsahawan oleh MDEC.

“Mereka mendapat pelbagai faedah seperti tiada kos atau yuran tersembunyi, sokongan peribadi serta latihan untuk menjual dan mengembangkan perniagaan dalam talian.

“Selain itu, peniaga berpeluang untuk mengeksport produk mereka ke pasaran antarabangsa,” jelasnya.

Maklumat lanjut tentang Blee on MyBazar boleh didapati menerusi https://www.mybazar.com/Blee/ atau e-mel kepada [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini