MELAKA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan nilai jualan program Bazaar Aidilfitri Industri Asas Tani pada tahun ini mampu mencecah kira-kira RM4 juta dan melibatkan penyertaan 745 usahawan tani di seluruh negara.
Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, sasaran tersebut adalah berdasarkan peningkatan jumlah penyertaan usahawan berbanding 537 orang pada tahun lepas yang menjana jualan kira-kira RM3.1 juta.
Menurutnya, pada kali ini sebanyak 3,135 produk yang dijual meliputi kategori kuih tradisional, biskut atau juadah raya, produk kraf dan buah-buahan di 45 Bazaar Aidilfitri Industri Asas Tani di seluruh negara.
“Kita melihat pelaksanaan program Bazar Aidilfitri Industri Asas Tani yang dianjurkan sejak enam tahun lepas telah menunjukkan banyak peningkatan atau pencapaian yang positif termasuk baik dari nilai jualan, jumlah usahawan terlibat dan produk yang dihasilkan.
“Program ini merupakan salah satu medium untuk usahawan mengetengahkan produk mereka. Malah, mereka turut mendapat reaksi terus daripada pengguna untuk tujuan menambah baik produk yang dihasilkan mengikut permintaan pengguna atau pasaran,” katanya kepada pemberita selepas perasmian program Bazaar Ramadan Aidilfitri Industri Asas Tani 2018 di sini.
Program itu dirasmikan oleh Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri Norhizam Hassan Baktee selain turut dihadiri Pengarah Fama Negeri Che Samudin Hassan.
Selain itu, Ahmad berkata Fama juga akan terus melaksanakan program pembangunan usahawan bagi memastikan usahawan tani negara ini berdaya saing dan mampu memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.
“Program pembangunan usahawan merupakan salah satu program penting bagi meningkatkan kualiti atau tahap pencapaian usahawan serta produk yang dihasilkan,” katanya. – Bernama










