APAKAH pemilihan UMNO akan sekali lagi dicemari dengan amalan politik wang? Itulah persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak malah bagi musuh-musuh politik UMNO, mereka sudah membuat andaian ia pasti berlaku.
Tetapi dalam keadaan UMNO sudah kehilangan kuasa di peringkat pusat bersama komponen Barisan Nasional (BN) yang lain serta tumbang di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka , Johor dan Terengganu serta terus bermimpi merampas Pulau Pinang dan Kelantan serta Selangor, ramai mengharapkan perbuatan jijik itu tidak akan berlaku lagi.
Mereka mahu menyaksikan pemilihan kali ini benar-benar bersih dan pemimpin-pemimpin yang dipilih bukan berdasarkan berapa jumlah wang yang mereka beri kepada perwakilan tetapi bersandarkan integriti, kewibawaan dan kemampuan bagi membolehkan UMNO bangkit semula menembus kekalahan dalam pilihan raya umum.
Pihak di luar UMNO termasuk mereka yang sekadar penyokong hanya mampu berharap tetapi sama ada politik wang akan berlaku atau tidak, pemilihan berlangsung secara bersih atau tidak, ia bergantung sepenuhnya kepada calon yang bertanding dan perwakilan yang akan mengundi.
Kalau mereka ikhlas mahu menebus maruah UMNO berikutan keputusan pilihan raya umum lalu, mereka sudah pastinya tidak akan melakukan perbuatan tersebut dengan sanggup menabur atau menerima wang semata-mata bagi meraih kedudukan atau `membuat’ wang sebanyak mungkin ketika musim pemilihan.
Maruah UMNO sudah tergugat, oleh itu kalaulah politik wang dibiarkan juga berlaku akibat sikap tidak sedar diri berhubung kedudukan UMNO sekarang, percayalah peluang parti itu untuk bangkit semula hanyalah sekadar satu mimpi.
Mana-mana calon yang bersedia menghulurkan wang bagi mendapat jawatan hakikatnya pengkhianat kepada parti. Mereka sebenarnya bertanding semata-mata mahu meraih kedudukan bukannya ikhlas mahu memperjuangkan nasib UMNO.
Bagaimanapun kita berasa lega apabila calon-calon termasuk bagi jawatan tertinggi parti sudah melahirkan komitmen untuk menolak amalan politik wang, malah seorang pemimpin kanan UMNO memberitahu penulis, beliau lebih bersedia kalah daripada menggadaikan maruah parti dengan terlibat dalam politik yang menjijikkan itu.
Hakikatnya, masalah politik wang bukan hanya berpunca daripada pemimpin tetapi paling penting perwakilan. Mereka perlu berani menolak mana-mana pemimpin yang mengamalkan politik seumpama itu dan bukannya mahu menjadi musim pemilihan untuk mengumpul wang haram.
Jika mereka masih ada maruah, mereka sama sekali tidak akan menerima sesenpun habuan yang ditawarkan bagi mengundi mana-mana calon. Lagipun tindakan memilih pemimpin yang bersandarkan berapa banyak wang diberikan tidak akan membawa berkat kepada perjuangan parti.
Pemilihan pemimpin harus bersandarkan kepada kemampuan dan kebolehan kerana mereka yang menggunakan wang untuk memperoleh jawatan sebenarnya tidak mempunyai keyakinan diri malah mungkin tidak layakpun menjadi pemimpin yang dihormati.
Tidak malukah ahli-ahli UMNO jika parti itu terus diperlekeh dan dihina akibat amalan politik wang? Cukuplah UMNO kini digambarkan seolah-olah langsung tidak berjasa kepada bangsa, agama dan negara apabila kalah dalam pilihan raya, tak kanlah ia mahu diburukkan lagi dengan amalan politik wang?
Sebab itulah perlu ada keberanian dalam kalangan pemimpin yang bertanding dan perwakilan untuk benar-benar memastikan pemilihan kali ini benar-benar bersih dan tiada nilai atau harga diletakkan bagi setiap undi bagi mana-mana jawatan. Apa gunanya menang jawatan dalam parti melalui politik wang tetapi dalam pilihan raya ditolak oleh rakyat. Kalaulah jawatan pun diperolehi cara yang tidak berkat, bagaimana mahu perjuangan diberkati?
Dalam memperkatakan soal pemilihan yang bersih, ia bukan sahaja berkaitan soal politik wang tetapi juga bagaimana kempen dijalankan. Pemilihan yang diadakan bertujuan mencari barisan terbaik bagi mengemudi UMNO dan bukannya mahu menjatuhkan atau menyingkirkan mana-mana pemimpin.
Perwakilan perlu diberi kebebasan memilih bersandarkan kepada track record calon-calon. Track record itu pula merangkumi semua aspek termasuklah integriti. Tidak perlu mana calon-calon merasakan dia paling hebat sehingga memperlekeh calon-calon lain atau menggambarkan kalau dia tidak terpilih maknanya UMNO tidak berubah.
Perlu diingat pemilihan UMNO turut diikuti rapat oleh musuh-musuh politiknya. Mereka pasti akan menjadikan setiap kelemahan dan keburukan yang didedahkan sesama sendiri oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebagai `peluru’ untuk ditaburkan ketika pilihan raya nanti.
Oleh itu berkempenlah secara berhemah dan berpada-padalah dalam mempromosi diri dalam bertanding mana-mana jawatan. Rakyat khususnya orang Melayu sedang memerhati. Mereka mahu melihat sejauh manakah pemimpin dan ahli UMNO benar-benar menjadikan apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu sebagai pengajaran dan paling penting membuktikan segala tanggapan buruk rakyat terhadap parti itu hanya persepsi.
Kalaulah sudah kehilangan kuasa pun, masih ada pemimpin dan ahli UMNO mahu mengekalkan perangai lama yang dianggap merosakkan imej parti tersebut, tiada apa-apa lagi yang boleh diharapkan kepada parti tersebut sebaliknya bersedialah untuk ditolak oleh rakyat khususnya orang Melayu secara total.
Bagaimanapun penulis yakin, pemimpin dan ahli UMNO memahami kedudukan parti itu sekarang. Sebab itulah ramai yang menawarkan diri untuk bertanding dan sudah tentulah mereka ikhlas mahu memulihkan kembali maruah UMNO.
Dan semoga keikhlasan itu akan diterjemahkan dengan memastikan pemilihan kali ini paling bersih dalam sejarah UMNO dari semua sudut, bukannya memastikan persepsi bahawa pemimpin dan ahli UMNO tidak berubah dan tidak pernah insaf satu realiti.










