England sedia kuburkan Panama - Utusan Malaysia

England sedia kuburkan Panama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASUKAN England hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk melangkah ke pusingan kalah mati bagi 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2018 menjelang pertemuan menentang Panama bagi aksi kedua Kumpulan G di Stadium Nizhny Novgorod pada pukul 8 malam ini.

Sudah pasti kapten England, Harry Kane akan sekali lagi menjadi sandaran utama pasukan bimbingan Gareth Southgate yang terdahulunya menjaringkan dua gol bagi meraih kemenangan 2-1 ke atas Tunisia sekali gus mengutip tiga mata dalam aksi pembukaan di Arena Volgograd pada 19 Jun lalu.

“Saya mencabar Kane untuk membuktikan bahawa dia seorang pemain berkelas dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi. Saya percaya dia seorang yang fokus dan boleh bermain dalam apa sahaja kejohanan serta mampu jaringkan gol,” kata Southgate.

Atas kertas, England yang berada di ranking ke-12 dunia diramalkan tidak berdepan kesukaran menewaskan Panama (ranking ke-55 dunia), namun jika mereka kalah, skuad kendalian Southgate itu perlu mencatat kemenangan atau sekurang-kurangnya seri sambil mengharapkan Panama tewas pada aksi terakhir Kumpulan G dan seterusnya melangkah ke peringkat kalah mati.

Bagi Panama pula, aksi menentang skuad The Three Lions itu ibarat penentuan hidup dan mati. Mahu tidak mahu, pengurusnya, Hernan Dario Gomez akan memastikan pasukan dikenali dengan nama Los Canaleros itu wajib menang sekali gus menghidupkan peluang mereka pada saingan Piala Dunia 2018 sambil mengharapkan keajaiban serta kejutan bakal terjadi nanti.

Meskipun skuad Panama dibarisi pemain-pemain yang kurang berkualiti berbanding England, namun pasukan dari Amerika Tengah itu dijangka memiliki semangat juang serta motivasi tinggi untuk melakar kejutan ke atas juara Piala Dunia 1966 tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN