KUALA LUMPUR – Pertandingan empat penjuru dijangka berlaku dalam persaingan merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu pada 30 Jun ini.
Calon terbaharu ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengesahkan dirinya akan bertanding jawatan tertinggi UMNO itu apabila beliau memuat naik borang pencalonan jawatan tersebut dalam akaun Instagramnya.
“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” kata Khairy Jamaluddin menerusi akaun Instagramnya hari ini.
Sebelum ini, tiga calon telah mengesahkan pencalonan untuk merebut jawatan Presiden UMNO iaitu Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan penulis blog, Rahmat Azim Abdul Aziz.
Pemilihan pada 30 Jun dilihat sebagai langkah pertama yang penting dalam usaha UMNO untuk membina semula parti selepas kalah buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu. – K! ONLINE










