TIADA Misi Terlalu Sukar Tiada Pengorbanan Terlalu Besar. Demikian ayat keramat bagi Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC) 10 Briged Para yang menjadi sebahagian tunjang dalam menjaga keamanan negara.
Maka tidak hairanlah rutin pasukan ini dalam aspek operasi dan latihan tetap diteruskan seperti biasa walaupun pada bulan Ramadan.
Malah bulan tersebut juga sebenarnya bukanlah bulan ‘pengecualian’ bagi anggota tentera beragama Islam termasuk anggota 10 Briged Para dalam melaksanakan sebarang operasi atau latihan walaupun perlu menahan lapar dan dahaga.
Apa yang penting, latihan seperti itu dapat menguji kekuatan aspek mental dan fizikal yang sudah tentu amat berguna ketika mempertahan negara daripada sebarang ancaman.
Terbaru seramai 210 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) 10 Briged Para terlibat dalam ‘Ramadan Jump’ bertempat di Zon Gugur (DZ) Simpang Renggam Johor bermula dari 30 hingga 31 Mei lalu.
Eksesais melibatkan anggota 10 Briged Para itu menggunakan dua buah pesawat CN 235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Latihan ini juga merupakan siri latihan lanjutan penerjunan statik yang bertujuan memastikan status ‘Para Readiness’ dalam kalangan pegawai dan anggota sentiasa dalam tahap yang tertinggi pada setiap masa.
Penerjunan statik pada paras ketinggian antara 800 sehingga 1000 kaki ini merupakan siri latihan semasa yang dibuat beberapa kali dalam setahun melibatkan semua kor bawah naungan 10 Briged Para.
Menurut sumber, penerjunan menggunakan payung statik pada ketinggian tersebut penting bagi menyusup ke kawasan operasi dengan lebih cepat seterusnya membentuk posisi sama ada untuk menawan atau menyerang kedudukan musuh dengan berkesan.
Tambahnya, pada ketinggian tersebut juga risiko kematian anggota akibat ditembak ketika terjunan juga dapat dikurangkan dalam satu-satu operasi penting .
Sementara itu, Eksesais Tiger Leap turut dilakukan bagi semua anggota 10 Briged Para sama ada anggota baharu atau anggota lama yang telah lama tidak melakukan penerjunan.
Jelasnya, skil tersebut perlu sentiasa dijaga sebagai sebahagian persediaan menangani ancaman yang boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
“Sebagai anggota 10 Briged Para kami bukan sahaja boleh diatur gerak melalui udara tetapi kami perlu menyusup melalui laut dan darat. Oleh itu latihan ini sememangnya membantu mempertajam kemahiran sedia ada,” ujarnya ketika dihubungi Mega Wira baru-baru ini.
Selain Eksesais Tiger Leap, 10 Briged Para turut terlibat dalam pelbagai siri latihan lain seperti Eksesais Cope Taufan; Eksesais Carat dan eksesais bersama negara lain.










