PUTRAJAYA 27 Jun – Kementerian Pengangkutan menangguhkan sistem tender atas talian (e-bidding) untuk nombor pendaftaran kenderaan Malaysia pada 1 sehingga 16 Ogos.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguji sistem tersebut selain memastikan tiada isu teknikal apabila ia dilaksanakan.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat di kementeriannya, di sini hari ini.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini mengumumkan e-bidding nombor pendaftaran kenderaan Malaysia yang dikendalikan oleh sebuah syarikat tempatan akan bermula pada 2 hingga 16 Julai.
Dalam perkembangan lain Anthony berkata, Kabinet hari ini bersetuju untuk tidak menghentikan perkhidmatan e-hailing sebaliknya akan mewujudkan undang-undang baharu bagi perkhidmatan tersebut.
“Undang-undang itu adalah untuk memastikan hala tuju perkhidmatan e-hailing dan perkhidmatan teksi dapat memuaskan hati semua pihak agar lebih adil. Kita akan umumkan secara menyeluruh pada awal Julai nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











