Dua suspek samun kedai serbaneka diburu - Utusan Malaysia

Dua suspek samun kedai serbaneka diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Jun- Polis memburu dua lelaki yang merupakan suspek kes samun sebuah kedai serbaneka 24 jam dalam kejadian di USJ 9/5Q, Subang Jaya dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, seorang pekerja kedai serbaneka terbabit didatangi dua suspek masing-masing bertopi keledar dan bertopi hitam serta bersenjatakan pisau pemotong daging.  

Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, suspek telah mengambil wang sebanyak RM346.50 sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis dan nombor pendaftaran yang tidak dapat dikenal pasti.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat dua orang pelanggan berada di dalam kedai namun tidak menyedari kejadian tersebut.

“Kita telah meneliti kejadian menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati kedua-dua suspek berbadan kurus serta berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun.

“Suspek pertama yang memegang pisau berukuran lapan inci itu mempunyai ketinggian lebih kurang 165 sentimeter (cm), memakai baju warna biru, berseluar jeans hitam, memegang pisau memotong daging berukuran  lapan inci manakala suspek kedua pula berketinggian lebih 170cm serta memakai baju putih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Muhammad Azlin, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua suspek diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN