KUALA LUMPUR 20 Jun – Dua daripada tiga lorong di Kilometer 33.5, Lebuh Raya Karak, Gombak dekat sini akan ditutup bermula pukul 6 pagi esok bagi proses mengalihkan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan semalam.
Ekoran daripada itu, hanya satu lorong sahaja akan dibuka untuk kegunaan pengguna jalan raya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, proses itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat jam.
“Proses mengalihkan bas ekspres yang terbalik di lokasi tersebut dibuat bermula pukul 6 pagi iaitu pada waktu aliran trafik minimum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, seorang wanita, Emylia Md. Zaki, 35, maut manakala 41 lagi penumpang cedera selepas bas ekspres dinaiki hilang kawalan dan terbalik di lokasi kejadian pada pukul 6.30 petang.
Bas yang dinaiki mereka bertolak dari Jerantut, Pahang dan menuju ke Shah Alam, Selangor. – UTUSAN ONLINE










