RAWANG – Dua lagi lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan berkenaan kes video tular sekumpulan lelaki yang bertindak ganas melanggar seorang lelaki yang terbaring di atas jalan di Bandar Country Homes di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kedua-dua suspek ditahan awal pagi semalam, kira-kira pukul 1 pagi di Bandar Baru Kundang di sini.
“Kedua-dua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kedua-dua suspek juga merupakan anggota kumpulan kongsi gelap, Geng O8,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, dengan tertangkapnya dua lelaki tersebut menjadikan lima suspek telah berada dalam tahanan polis.
Media semalam melaporkan, tiga lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang tular di laman media sosial berkenaan seorang lelaki yang dilanggar dan ditendang oleh beberapa lelaki.
Siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut melibatkan anggota Geng 08 dan motifnya adalah berkenaan masalah kawasan penjualan dadah manakala ketua mereka yang bergelar Datuk Seri serta beberapa pemimpin tertinggi geng tersebut telah ditahan menerusi tindakan jenayah terancang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) melalui Ops Spider oleh Jabatan Siasatan Jenayah Selangor yang dijalankan sebelum ini.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan. – K! ONLINE











