KUALA LUMPUR 6 Jun – Pelakon yang membintangi siri Isteri Untuk Diiktiraf, Ariff Aziz, 29, enggan mengulas gosip yang mendakwa dia bakal menikahi penerbit terkenal, Datuk A. Aida, 47, pada September ini.
Mula dikenali menerusi drama Misteri Wan Peah, Ariff atau nama penuhnya Wan Izma Ariff Abd. Aziz tidak mahu setiap butir kata yang keluar dari mulutnya akan disalah anggap oleh khalayak umum.
“Adalah lebih baik sekiranya Kak Aida (A. Aida) sendiri yang memberi ulasan berhubung khabar angin itu demi menghormati kedudukannya malah dia pun lebih berusia daripada saya.
“Setahu saya, hubungan kami adalah antara pekerja dan majikan memandangkan saya merupakan artis yang bernaung di bawah syarikat pengurusan miliknya.
“Soal cinta, saya tak mahu komen,” tegasnya kepada Utusan Online.
Aktor berdarah kacukan Melayu-Iran itu berkata demikian ketika diminta memberi penjelasan mengenai spekulasi yang mula menjadi perbualan warga industri sejak kebelakangan ini setelah pasangan itu kerap dilihat bersama-sama di majlis hiburan tempatan.
Pun begitu, berbicara mengenai kriteria isteri pilihan, Ariff tidak menolak andai dipertemukan jodoh dengan wanita lebih tua daripadanya.
“Saya sedang menjalani penggambaran filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda dan ingin fokus dalam menstabilkan karier lakonan yang masih belum kukuh.
“Kisah peribadi saya, usahlah diberikan publisiti. Sebaliknya, berilah keutamaan terhadap kerjaya seni saya,” tegas pemuda tinggi lampai dan bertubuh sasa yang dicungkil bakatnya menerusi program Pencarian Lelaki Maskulin 2013 (PLM 2013) itu. – UTUSAN ONLINE











