JOHOR BAHRU 6 Jun – Minat mendalam dalam bidang fesyen mendorong Zuraidah Mohamed, 37, untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan menjual pakaian tradisional dan moden.
Walaupun pernah bergelar wartawan selama 15 tahun sebelum ini, namun minat dalam bidang perniagaan tidak pernah padam dan kini dia tampil dengan jenama tersendiri, Rya Sophia Couture.
Anak jati Johor Bahru ini mula berniaga pada Februari lalu dengan menjadi vendor kepada butik-butik sedia ada dan menjual pakaian lelaki, wanita serta kanak-kanak.
“saya turut membuka gerai jualan di Plaza Pelangi dan AEON Mall di Bandar Dato’ Onn di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Zuraidah memberitahu, antara pakaian yang dijualnya adalah baju Melayu cekak musang dengan menggunakan jenama Raja, baju kurung English cotton yang diambil dari Vietnam, kebaya lace, blaus wanita, kurta serta jubah lelaki, shawl serta baju kanak-kanak.
Meskipun masih baharu, butik dan gerai jualannya mendapat sambutan yang amat menggalakkan, katanya sambil memberitahu dia turut membuat promosi baju Melayu cekak musang dengan hadiah percuma butang baju dan kain pelekat sebagai samping.
“Perancangan saya dalam masa terdekat ini terutama selepas Hari Raya nanti mahu fokus untuk menghasilkan pakaian menggunakan jenama sendiri.
“Selain itu, saya juga ingin membuka sebuah butik di Plaza Pelangi serta menggunakan strategi pemasaran secara dalam talian,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini juga amat bertuah apabila minatnya itu turut mendapat sokongan suami, Mohd. Kamal Ahmad yang turut membantunya menyediakan modal perniagaan.











