KUALA LUMPUR 8 Jun – CTOS Data Systems Sdn . Bhd (CTOS) hanya berperanan sebagai agensi pelaporan kredit untuk mengekalkan rekod maklumat sejarah atau pengalaman kredit seseorang, bukan memutuskan kelayakan dan ketetapan polisi pinjaman yang perlu diketahui umum.
CTOS dalam satu kenyataan berkata, maklumat sejarah itu disimpan sehingga maksimum 24 bulan, tetapi jika ada kes yang belum selesai, ia masih akan ditunjukkan dalam laporan.
“Tanpa maklumat tersebut, syarikat penawaran kredit akan ragu-ragu untuk menawarkan pinjaman kerana mereka tidak tahu sama ada individu tersebut boleh membuat bayaran kembali.
“CTOS memperoleh maklumatnya daripada badan berkanun, penyampai dan sumber awam seperti gazet kerajaan, surat khabar dan pemfailan mahkamah. Contoh sumber data termasuk maklumat CCRIS Bank Negara, Jabatan Insolvensi dan Jabatan Pendaftaran Negara,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Semalam, Penganjur Pameran Hartanah Bumiputera, Mohd. Azmi Mohd. Arif berkata, polisi pinjaman perumahan yang terlalu ketat di negara ini menyebabkan kira-kira 80 peratus golongan belia berusia antara 25 dan 40 tahun gagal memiliki rumah sendiri.
Menurut beliau, kesilapan yang dilakukan dalam mengurus kewangan di peringkat awal mengakibatkan nama peminjam disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS.
Terdahulu Mohd. Azmi berkata, pihak CTOS tidak boleh memberi maklumat mengenai individu kecuali orang itu membenarkannya secara khusus.
“CTOS mengambil perlindu-ngan data dengan sangat serius dan dikawal oleh Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 yang menyatakan dengan tepat persetujuan peribadi diperlukan sebelum mana-mana Agensi Pelaporan Kredit (CRA) boleh melepaskan laporan kepada pihak ketiga.
Komitmen CTOS terhadap perlindungan data juga adalah kerana CTOS mengembalikan salinan MyKad individu apabila memohon Laporan Kredit CTOS untuk memastikan maklumat itu didedahkan kepada orang yang betul,” kata kenyataan itu.










