CoolBlog rancang teroka pasaran ASEAN - Utusan Malaysia

CoolBlog rancang teroka pasaran ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Jun – Syarikat minuman, CoolBlog merancang untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia dan Vietnam dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif CoolBlog, Keith Loh berkata, ranca­ngan itu mengambil kira kedudukan kukuh jenama itu dalam pasaran tempatan dengan hampir 300 cawangan di seluruh negara.

“Kita akan berkembang di Asia Tenggara dalam sekurang-kurangnya dua tahun lagi di Indonesia, Vietnam dan mungkin juga Kemboja, Laos dan negara-negara ASEAN yang lebih kecil.

“Di Malaysia pula, kita merancang membuka antara 15 hingga 20 cawangan lagi untuk tahun ini sebelum mula meneroka pasaran luar negara tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

CoolBlog merupakan syarikat minuman berasaskan ais campuran atau smoothie diasaskan di Malaysia sejak 10 tahun lalu kini telah tidak asing dalam kalangan masyarakat tempatan.

Menurut Loh, keistimewaan CoolBlog adalah dari segi tawaran produknya yang berinovasi dan lebih memfokuskan kepada citarasa tempatan seperti cendol, pulut hitam atau bandung.

Katanya, CoolBlog juga berbeza dengan pemain industri lain yang berasaskan teh atau kopi kerana jenama itu sentiasa memper­kenalkan produk minuman baharu setiap tiga bulan.

“Sebenarnya untuk me­nge­kalkan konsep sesuatu jenama itu adalah sukar kerana kita perlu sentiasa mengeluarkan produk baharu yang lebih rele­van atau jika tidak kita akan ke­tinggalan.

“CoolBlog memperkenalkan rangkaian produk baharu setiap tiga bulan, ini tidak mudah kerana memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk menghasilkan sesuatu produk,” katanya.

Tambah beliau, misi CoolBlog adalah untuk menyediakan produk yang berkualiti kepada pelanggan terutama dengan harga mampu milik yang memberi lebih nilai kepada mereka.

“Kita bermula di Johor, kawasan yang separuh urban atau sedikit luar bandar, dan ini membuatkan kita mampu menawarkan harga murah sesuai dengan kemampuan pelanggan,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN