KUALA LUMPUR – Container Kebab Sdn. Bhd. mengunjurkan untuk membuka lima cawangan baharu Container Kebab menjelang akhir tahun ini sebagai projek perintis syarikat memperkenalkan jenama makanan baharu itu di pasaran Malaysia.
Jenama Container Kebab terkenal di Indonesia yang mana syarikat tersebut memiliki sehingga 1,300 cawangan di seluruh negara dan turut memiliki rangkaiannya di sembilan buah negara.
Ia melibatkan Singapura, Filipina, China, Sri Lanka, Bangladesh dan Belanda.
Pengarah Urusannya, Kenny Poh berkata, untuk tempoh separuh pertama tahun hadapan, syarikat bakal membuka 25 rangkaian baharu lagi Container Kebab di lokasi strategik sebagai usaha untuk meluaskan penguasaan pasarannya di negara ini.
“Buat permulaan, kami akan membuka rangkaian sulung di pusat beli-belah Wangsa Walk di sini pada bulan hadapan yang mana konsep perniagaan restoran akan diperkenalkan pada pelanggan di Malaysia.
“Dari situ, kami akan melihat dulu prestasi dan maklum balas pelanggan terhadap segmen makanan yang diketengahkan sebelum membuat perancangan seterusnya untuk pengembangan rangkaian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi temu bual bersama media selepas majlis menandatangani perjanjian francaisi induk antara Container Kebab dengan PT Baba Rafi Indonesia di Glo Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Turut hadir Pengasas Baba Rafi, Hendy Setiono.
Kenny menjelaskan, Container Kebab menampilkan segmen makanan bersesuaian untuk golongan muda berkonsepkan ‘beli dan bawa’ selain membolehkan mereka mendapatkan makanan berkhasiat dan halal.
Tambah beliau, syarikat kini bersedia bekerjasama dengan usahawan baharu untuk menceburi perniagaan tersebut melalui skim perlesenan dengan keperluan modal yang agak minimum.
“Kami menjangkakan pelaburan untuk memulakan perniagaan Container Kebab ialah antara RM120,000 hingga RM150,000.
“Ia terbahagi kepada beberapa model seperti restoran dan kios yang terletak di lokasi strategik yang mudah diakses pelanggan,” jelasnya.











