Bila dapat suami kedekut - Utusan Malaysia

Bila dapat suami kedekut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA hari lalu, sebelum 1 Syawal, rakan akak cun, abang hensem sibuk mengira duit yang ditukar dari bank berdekatan pejabat kami untuk diberikan kepada sanak saudara dan budak-budak yang berkunjung ke rumahnya pada hari raya Aidilfitri.

Katanya, menyediakan duit raya memang satu kemestian untuknya setiap tahun. Memang ada peruntukan untuk itu.

Akak cun pun jeling-jeling jugalah kalau-kalau abang hensem hendak bagi duit raya kepada akak cun. Tapi dia buat-buat tak tahu saja dengan jelingan akak cun. Terus sibuk me­ngira duit untuk dimasukkan dalam sampul raya.

Melihat abang hensem mengira duit itu, seorang lagi rakan sekerja akak cun tiba-tiba dengan bangganya tanpa sesiapa pun mena­nya memberitahu, dia juga memberi duit raya kepada budak-budak yang berkunjung ke rumahnya.

Katanya, hal-hal memberi duit raya ini dia serahkan kepada isterinya. Dia tidak ambil tahu sangat.

Akak cun bertanya, berapa peruntukan untuk duit raya itu? Jawabnya, dia tidak tahu sebab isterinya yang menyediakannya.

Eh, kata dia yang beri duit raya tiap-tiap tahun, kenapa yang sediakan duit itu isterinya pula? Makna­nya, bukan dia yang berilah, isterinya.

Ya, betul. Katanya, duit isterinyalah. Tapi pemberian itu dikira daripada dia sekeluargalah.

“Duit dia, duit saya jugalah. Kira macam itulah. Apa nak berkira sangat,” katanya.

Lagipun, katanya, cukuplah isterinya seorang saja yang memberi duit raya. Duit raya bukan satu kewajipan.

Memang betullah bukan satu kewajipan atau kemestian pun. Itu adalah sedekah masing-masing. Terpulanglah hendak beri atau tidak.

Akak cun pun hanya beri duit raya kepada orang tua akak cun dan anak-anak saudara saja ikut kemampuan tetapi akak cun tak mengakulah, akak cun yang bagi duit raya kalau duit itu bukan daripada akak cun!

Dan yang membuat akak cun terbeliak biji mata, katanya, dalam duit isteri ada duit suami. Dalam duit suami tiada duit isteri.

Dalam erti kata lain, duit suami duit suamilah, duit isteri dia boleh mengendeng atau minta.

Spesies macam inilah yang akak cun tak nak jadikan suami. Kedekut pahit namanya!

Cakap pasal kedekut, akak cun adalah juga mendengar keluhan berapa kawan akak cun mengenai suami mereka yang liat hendak keluar duit.

Ada yang mengadu, suaminya bila makan di luar bersama mengelak bayar. Bila tiba masa hendak bayar, mulalah keluar pergi ke tandas atau beri alasan belum keluar duit di mesin ATM.

Ada juga tidak pernah belikan apa-apa pada isteri. Baju sehelai pun tak pernah. Masa harijadi isteri pun tak pernah bagi hadiah. Tetapi yang peliknya, bila bersama kawan-kawan atau saudara mara dia bermurah hati pula keluar duit.

Ada yang dengan anak-anak pun macam itu juga. Bila isteri belikan apa-apa untuk anak seperti baju, beg atau mainan dikata membazir pula.

Agaknya, orang lelaki ni ayat lazim dia ‘jangan membazir’. Dia yang membazir duit beli macam-macam aksesori kereta atau motor macamlah kenderaan itu boleh terbang, tak apa pula.

Yang kedekut dengan isteri ini bukan tiada duit. Ada. Gajipun lebih besar daripada isteri. Tetapi, entahlah. Mungkin simpan duit untuk beli pesawat persendirian. Senanglah hendak bawa keluarga makan angin. Berbaik sangkalah dengan suami!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN