KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan meneliti semula keputusan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang mengumumkan keluar daripada kerjasama komponen BN.
Pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang kenyataan bertulis atau surat rasmi daripada Gerakan.
“Saya akan minta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja BN, Datuk Seri Abu Khamis menghubungi Gerakan kerana kita belum dapat hubungi mereka lagi.
“Surat daripada Gerakan untuk keluar daripada BN pun tidak diterima lagi, sebab itu kita perlukan maklumat dan teliti dahulu perkara ini,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Gerakan dalam satu kenyataan mengumumkan keluar daripada komponen BN untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif selepas keputusan sebulat suara dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan.
Menurut Gerakan, keputusan dibuat selepas perbincangan, penelitian dan pertimbangan yang menyeluruh dan serius terhadap perkembangan politik semasa negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Sentimen dan maklum balas daripada akar umbi juga diambil kira dalam keputusan ini, pemilihan parti di peringkat cawangan sedang berlangsung di seluruh negara. Ia selaras dengan matlamat kami untuk menyatukan parti dan ahli,” kata kenyataan itu.
Dalam PRU-14, Gerakan kalah di semua 11 kawasan Parlimen dan 31 kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya.
Perkembangan terbaru itu menyaksikan kekuatan BN dengan 13 anggota kini menyusut kepada hanya tiga parti komponen iaitu UMNO, MCA dan MIC manakala MyPPP masih berbelah-bagi dan belum membuat keputusan tentang statusnya.
Sebelum ini pada 12 Jun lalu, empat parti komponen BN Sarawak mengumumkan keluar daripada perikatan gabungan BN Pusat dengan membentuk gabungan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak.
Empat parti itu ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Parti Rakyat Sarawak, Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan Parti Demokratik Progresif.










