JEMPOL – Seorang bayi perempuan ditemui ditinggalkan di dalam kotakdi atas tembok pagar sebuah rumah di Bandar Seri Jempol di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, bayi tersebut dijumpai oleh penghuni rumah berkenaan ketika dia ingin keluar ke kedai pada pukul 9.20 pagi.
Menurutnya, berdasarkan keterangan lelaki berusia 46 tahun tersebut, bayi berkenaan dipakaikan baju berwarna merah jambu dan diselimut dengan kain putih bercorak.
“Semasa lelaki itu keluar dari rumah untuk ke kedai, dia ternampak satu kotak di atas tembok pagar rumahnya lalu mendekati serta membuka kotak berkenaan.
“Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati di dalam kotak itu terdapat bayi perempuan yang masih hidup ditinggalkan oleh seseorang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin berkata, susulan penemuan itu, polis telah merakam percakapan lelaki tersebut manakala bayi itu dihantar ke Hospital Jempol oleh polis untuk pemeriksaan lanjut.
Tambahnya, penemuan bayi berkenaan turut dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











