KUCHING 17 Jun – Presiden PKR Sarawak, Baru Bian berasa cukup teruja dan gembira sekiranya benar namanya dimasukkan dalam senarai akhir 26 anggota kabinet Pakatan Harapan (PH) yang dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
![]() |
|
BARU BIAN
|
Menurut Ahli Parlimen Selangau itu, pelantikan sebagai Menteri Kabinet memang diharap menjadi kenyataan bagi membolehkan beliau mewakili suara rakyat Sarawak, seterusnya membawa pembangunan kepada negeri ini yang masih lagi jauh ketinggalan berbanding Semenanjung.
Walau bagaimanapun, Baru memberitahu, setakat ini, beliau masih belum mendapat sebarang pengesahan atau surat pelantikan rasmi daripada Putrajaya berhubung perkara tersebut.
“Memang saya ada mendengar khabar angin yang tersebar bahawa nama saya dimasukkan dalam senarai akhir 26 anggota kabinet Perdana Menteri.
“Namun, saya tidak boleh memberi komen berlebihan kerana tiada mana-mana pihak menghubungi saya untuk memaklumkan pelantikan itu atau surat rasmi daripada Putrajaya setakat ini.
“Apa pun, khabar angin ini merupakan satu berita gembira sekiranya ia benar memandangkan perkara tersebut pernah diminta oleh kami (saya dan Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen) semasa pertemuan dengan Dr Mahathir di Putrajaya baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baru mengulas tentang desas-desus namanya dimasukkan dalam senarai akhir 26 anggota kabinet PH yang difahamkan akan dipersembahkan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas Hari Raya Aidilfitri.
Laporan disiarkan oleh portal berita, The Malaysian Insight yang memetik sumber kerajaan itu memaklumkan, veteran DAP, Teresa Kok dan muka baharu, Yeoh Bee Yin antara calon parti itu yang dijangka akan masuk dalam senarai berkenaan.
Baru pula dikatakan bakal dilantik sebagai Menteri Kerja Raya kerana beliau dalam kedudukan yang baik untuk mengutamakan projek pembangunan bagi Sabah dan Sarawak.
Selain Baru, difahamkan mungkin ada dua nama lain dari Sarawak akan dimasukkan dalam senarai akhir Menteri Kabinet itu selepas empat parti di negeri ini meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk mendirikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyokong PH.
Setakat ini, Kabinet Persekutuan diterajui Dr Mahathir tidak mempunyai Menteri dari Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu, Baru bersama Chieng Jen telah bertemu dengan Perdana Menteri untuk berbincang agar nama mereka berdua dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam senarai akhir 26 anggota Kabinet baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan berkata, beliau menyambut baik jika benar dilantik memegang porfolio sebagai Menteri Kerja Raya kerana jawatan itu antara yang relevan untuk Sarawak dan Sabah selepas Kementerian Luar Bandar dan Wilayah yang menjadi pilihan utama sebelum ini, sudah diisi oleh Rina Harun.
Namun, tegasnya, PH Sarawak tidak bersetuju jika pemimpin GPS turut dilantik sebagai menteri Persekutuan kerana mereka tidak sependapat berhubung manifesto PH kecuali dasar parti itu diubah. – UTUSAN ONLINE











