TANJONG KARANG 15 Jun – Penduduk Tanjong Karang kini mampu menarik nafas lega apabila projek pembinaan bangunan baharu Hospital Tanjong Karang dijangka disiap sepenuhnya menjelang November 2020.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerja-kerja menanam cerucuk sudahpun bermula pada tapak projek pembinaan yang tertangguh sejak sedekad lepas.
“Dalam usaha memastikan rakyat mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik, Kementerian Kesihatan komited menaik taraf hospital ini sebagai sebuah hospital yang memiliki pakar (perubatan), selain menambah kapasiti katil pesakit.
“Hospital baharu ini bakal menjadi ‘hospital pakar minor’ dengan kapasiti 150 katil dan menawarkan sembilan kepakaran selain kecemasan dan perubatan, iaitu pembedahan, ortopedik, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi dan rawatan kritikal, radiologi dan psikiatri,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 40 pesakit di Hospital Tanjong Karang sempena sambutan Aidilfitri, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Hospital Tanjong Karong, Dr. Mohd. Zamri Wagiman. – BERNAMA










