KUALA LUMPUR 23 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya menumpukan perhatian untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan bukannya berterusan menjaja kisah hutang negara sehingga menakutkan para pelabur.
![]() |
|
TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
|
Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pada masa ini, laporan mengenai keadaan ekonomi negara amat kurang memberangsangkan sehingga menyebabkan kerugian kepada banyak agensi yang melibatkan rakyat antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP).
“Apakah pula sikap orang yang ingin datang melabur ke negara kita, kalau kita setiap hari keluarkan kenyataan tentang keburukan ekonomi negara?
“Tidakkah sekarang kerajaan Pakatan Harapan sudah mendapat mandat untuk memerintah membaiki keadaan yang dianggap tidak betul? Betulkanlah, saya akan menyokong apa juga tindakan yang diambil untuk memperbetulkan keadaan ekonomi kita,” katanya di sini baru-baru ini.
Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berpendapat, usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk memulihkan keadaan ekonomi negara seharusnya disokong semua pihak sebagai reaksi yang positif dan rasional demi kebaikan rakyat.
“Kita akan beri kerjasama dan menyokong, saya rasa itu tindakan positif tetapi nak memburukkan negara, selama mana nak burukkan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan pelabur-pelabur yang telah menjual saham mereka dalam sesetengah syarikat serta agensi seperti KWSP tidak membawa keuntungan kepada rakyat dan negara.
“Kita mahu kurangkan kos sara hidup kita tetapi ini akan mengurangkan pendapatan orang yang bergantung harap menerusi pelaburan yang dibuat menerusi KWSP dan sebagainya. Itu tidakkah akan menjejaskan kedudukan pelaburan-pelaburan mereka?” katanya.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai hubungan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh berkata, beliau menghormati Dr. Mahathir walaupun mempunyai pandangan yang berbeza dengan Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam sesetengah isu.
“Saya baik dengan dia, saya hormati dia. Pandangan-pandangan dia (Dr. Mahathir) berlainan dengan pandangan saya terhadap sesuatu perkara. Itu perkara biasa,” katanya.











