NEW YORK 17 Jun – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) akan membangunkan kapal perang dron automatik yang boleh menyerang sasaran di dalam air dan udara bagi melindungi kawasan perairan negara ini.
Mail Online melaporkan, penyelidik dari Universiti Florida Atlantic (FAU) dianugerahkan geran sebanyak AS$1.25 juta (RM4.9 juta) oleh Tentera Laut AS bagi penyelidikan platform kenderaan marin tanpa pemandu.
Projek lima tahun itu akan menjalankan penyelidikan untuk menyokong platform kenderaan marin automatik untuk pengawasan pantai, tinjauan pantai, menjejaki sasaran dan perlindungan aset di laut.
“Fokus kami adalah membangunkan sistem pelbagai kenderaan yang boleh dengan selamat dan dipercayai memantau perairan pantai dengan tahap automatik yang tinggi semasa melakukan tugas-tugas tertentu,” kata Pengarah SeaTech, Institut Kejuruteraan Sistem dan Kelautan di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Laut FAU, Manhar Dhanak.
Penyelidik merancang untuk membangunkan perisian baharu untuk memperbaiki lebih banyak sensor dan mengelakkan perlanggaran serta penempatan dan pemetaan serentak (SLAM).
Kapal perang induk itu akan berfungsi sebagai stesen dok untuk kapal selam dan pesawat udara.
Dekan Kolej Kejuruteraan dan Sains Komputer FAU, Stella N. Batalama berkata, perkongsian kerjasama dalam penyelidikan saintifik itu adalah penting untuk memastikan AS kekal peneraju inovasi dan teknologi.
“Kami amat berbesar hati untuk meneruskan hubungan dengan Pejabat Penyelidikan Tentera Laut dan pemberian ini akan membolehkan kami membangunkan teknologi penting yang akan membantu menjamin perairan pantai AS dan aset di laut baik secara nasional dan global,” katanya.
Selain itu, kapal perang induk itu akan berfungsi sebagai latihan dan pendidikan kepada penuntut dalam jurusan kejuruteraan kelautan.
Tentera Laut AS baru-baru ini membangunkan kapal perang dron Sea Hunter, kapal perang pemanduan sendiri yang boleh memburu kapal selam musuh dan berlayar beberapa ribu batu di laut sambil memantau undang-undang maritim.









