KLANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor dalam satu adat istiadat di Istana Alam Shah di sini, sebentar tadi.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan, ikrar dan ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut berkenan berangkat ke istiadat tersebut Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Amirudin, 38, dilantik sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyertai senarai menteri Kabinet sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.
Pada istiadat sama, turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Selangor ialah ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail, 54, menggantikan Amirudin.
Amirudin sebelum ini merupakan Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi. – K! ONLINE









