Aktivis masyarakat bertanding Naib Ketua UMNO Bahagian - Utusan Malaysia

Aktivis masyarakat bertanding Naib Ketua UMNO Bahagian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 26 Jun- NGO 99 Kebajikan Insan Selangor atau 99 Kesan bukan sahaja popular kerana keunikan namanya malahan wajah serius Pengerusinya, Muhd. Ali Zakariah sering menghiasi dada akhbar dan kaca televisyen melontarkan komen bernas dalam pelbagai isu masyarakat.

MUHD. ALI
MUHD. ALI

Menurut Muhd. Ali, setelah bertahun-tahun berjuang menerusi NGO seperti 99 Kesan, Gerakan Belia 4B Kota Raja dan Rakan Muda, beliau kini bersedia untuk aktif dalam dunia politik sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.

“Saya mahu menyumbang dalam skala besar dengan menawarkan diri sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Raja yang merupakan antara kawasan yang mempunyai lebih 200,000 penduduk.

“Segala pengalaman yang dikutip sebagai aktivis masyarakat dan Ketua Cawangan Taman Klang Utama akan saya curahkan kepada penduduk di Kota Raja ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhd. Ali yang mula bergelumang dalam NGO sejak usia belasan tahun sudah masak dengan dunia politik sama ada di pihak Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan dan bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

Jelasnya, ahli-ahli UMNO Bahagian Kota Raja diharap memberi peluang kepada calon dari NGO sepertinya kerana beliau akan memberi khidmat bukan sahaja untuk membantu mereka malahan menawan kembali hati penyokong parti lawan.

“Jawatan sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian adalah wadah untuk saya berkhidmat dengan lebih berkesan terutama memperjuangkan masalah rakyat seperti banjir kilat, perumahan dan paling perlu diselesaikan segera adalah mendesak pihak berkuasa supaya mempertingkatkan infrastruktur dalam kawasan Parlimen Kota Raja yang mendukacitakan.

“UMNO adalah parti yang sinonim dengan pembangunan dan memberi khidmat terbaik dan ia perlu kekal begitu. UMNO akan berjuang untuk bangkit dan saya bersedia bersama ahli-ahli UMNO Bahagian Kota Raja bekerja untuk memperkasa parti keramat orang Melayu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN