AirAsia Berhad tawar penerbangan Aidilfitri - Utusan Malaysia

AirAsia Berhad tawar penerbangan Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Jun – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) menawarkan pe­nerbangan lewat malam istimewa Balik Raya untuk memenuhi permintaan perjalanan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Riad Asmat
RIAD ASMAT

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, orang ramai dapat pulang beraya dengan tambang rendah tetap sebanyak RM99 sehala untuk laluan terpilih dalam Semenanjung dan RM149 sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak bermula 12 Jun hingga 19 Jun.

Beliau berkata, biasanya tambang akan naik apabila permintaan meningkat, na­mun pi­haknya mahu memastikan rak­yat Malaysia dapat pulang untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan orang yang tersayang.

“Kami mendengar permin­taan rakyat untuk penerba­ngan tambang rendah. Justeru itu, kami berbesar hati untuk me­ngumumkan penerbangan tambahan dengan tambang tetap RM99 untuk laluan terpilih di Semenanjung dan RM149 untuk laluan antara Kuala Lumpur dan Kuching.

“Pada bulan lepas Air­Asia telah menambah 43 kekerapan pe­nerbangan dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching sempena Hari Raya. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa yang terlibat terutamanya Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) atas soko­ngan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

AirAsia turut menawarkan harga tetap RM199 sehala bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu bagi penerbangan bertarikh 14 dan 17 Jun untuk tempahan baharu dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

“Kami gembira untuk me­ngumumkan AirAsia juga telah berjaya mendapatkan slot tambahan bagi penerbangan ke Kota Kinabalu. Kami amat berterima kasih kepada semua pihak terlibat terutama Malaysia Airports di atas sokongan yang diberikan untuk menjayakan penerbangan tambahan ke Sabah,” katanya.

Penerbangan Balik Raya istimewa berkenaan hanya untuk tempahan baharu sahaja dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Menurutnya, para tetamu yang akan membuat perjalanan di mu­sim perayaan dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang lebih awal bagi mengelakkan ke­sesakan dan menggunakan perkhidmatan daftar masuk melalui laman web serta aplikasi mudah alih untuk kemudahan mereka.

Katanya, perkhidmatan tersebut boleh didapati 14 hari sehingga satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan.

“Para tetamu yang mempu­nyai bagasi daftar masuk mereka dinasihatkan untuk tiba lebih awal bagi memastikan mempu­nyai masa yang mencukupi untuk mendaftar masuk bagasi.

“Kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi penerbangan antarabangsa dan domestik akan ditutup 40 minit sebelum waktu berlepas yang dijadualkan,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN