KUALA LUMPUR- Sempena sambutan Aidilfitri minggu depan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menitipkan pesanan khas kepada orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing.
Dalam video pendek berdurasi 3.44 minit terbitan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu, Dr. Mahathir menasihati mereka supaya berhenti berehat dan tidur sebentar sekiranya mengantuk ketika memandu.
Dr. Mahathir , 92, yang gemar memandu, juga menasihatkan pemandu yang berusia seperti beliau agar tidak memandu kerana khuatir mereka kekurangan tenaga untuk berbuat demikian.
“Biasanya orang 90 tahun tak usah bawalah (kereta), keseronokan saya adalah membawa kereta tapi saya dapat bawa kereta hujung minggu saja, itu pun ada ‘driver’ (pemandu) di tepi,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Youtube hari ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pengguna jalan raya yang mempunyai saman harus bertanggungjawab untuk membayarnya. – Bernama











