Aduldej Ceknae meninggal dunia, dua hari selepas ditembak - Utusan Malaysia

Aduldej Ceknae meninggal dunia, dua hari selepas ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI 10 Jun – Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Aduldej Cheknae, yang parah ditembak penyerang tidak dikenali dua hari lepas, meninggal dunia awal pagi tadi.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha majlis, Solahuddin Yusuf dengan berkata beliau meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pattani pada kira-kira 2.45 pagi (waktu tempatan).

Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Anak Bukit Lalo, di sini selepas solat jenazah di Masjid Pondok Lalo Wittaya yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 penduduk dan pemimpin tempatan.

Aduldej juga merupakan ketua bahagian halal Majlis Agama Islam Pattani dan pengarah Sekolah Agama Pondok Lalo Wittaya. Pada 9 Mac lepas, beliau dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Kecil Pengurusan Proses Rundingan Damai.

Sebelum ini, Aduldej atau nama Melayunya, Adul Abdul Rasheed, 55, parah ditembak dua lelaki bermotosikal itu semasa dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Pondok Lalo Wittaya.

Sementara itu, Ketua Polis Pattani Mejar Jeneral Piyawat Chalermsi berkata penyerang itu melepaskan tiga das tembakan yang terkena pipi dan kepala mangsa.

“Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu. Mangsa tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak,” katanya.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN