KUALA LUMPUR 18 Jun – Rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana didapati membelanjakan kira-kira 75 peratus daripada gaji bulan lalu untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri terutama baju raya dan ini tidak termasuk duit raya, kuih, perhiasan rumah dan perabot baharu.
![]() |
|
MADELINE BERMA
|
Dapatan itu diperoleh berdasarkan pengiraan yang dilakukan penganalisis ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Madeline Berma terhadap situasi sesebuah keluarga yang mempunyai pendapatan purata sebanyak RM5,000 sebulan.
Beliau berkata, senario itu boleh digolongkan sebagai perkara yang tidak sihat kerana angka berkenaan menunjukkan bahawa berlaku peningkatan dalam perbelanjaan, manakala tabungan pula mempamerkan penyusutan.
“Didapati isi rumah yang berpendapatan sederhana iaitu dengan purata RM5,000 sebulan telah membelanjakan sekitar RM3,000 hingga RM3,650 untuk musim perayaan ini.
“Perbelanjaan berkenaan adalah 75 peratus daripada pendapatan isi rumah berdasarkan kapasiti enam individu dalam sesebuah keluarga iaitu pasangan suami isteri, dua anak remaja dan dua anak kecil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, perbelanjaan untuk membeli satu persalinan raya yang lengkap bagi seorang wanita dewasa adalah dianggarkan RM275 hingga RM550, manakala untuk lelaki dewasa (RM420 hingga RM550).
Bagi anak remaja perempuan pula (RM200 hingga RM500), manakala remaja lelaki (RM400 hingga RM500).
Madeline menambah, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar bermula 1 Jun lalu iaitu kira-kira 15 hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri turut memberikan kesan kepada perkara itu.
Jelasnya, golongan isi rumah berpendapatan sederhana (M40) merupakan kelompok yang menerima kesan paling tinggi untuk berbelanja lebih apabila rata-rata barangan dan perkhidmatan yang digunakan mereka harganya sedikit menyusut apabila ditolak GST.
“Golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) pula menerima kesan yang sangat kecil kerana bahan keperluan asas sememangnya berkadar sifar atau dikecualikan GST,” ujarnya.
Katanya, apa yang lebih membimbangkan ada dalam kalangan isi rumah yang dipercayai membuat pinjaman untuk membeli barangan yang bukan keperluan dan dikhuatiri mereka tidak berupaya untuk membayarnya selepas musim perayaan.









