KOTA KINABALU 8 Jun – Naib Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad mengesahkan untuk mempertahankan jawatan Exco Wanita UMNO yang disandangnya dalam pemilihan parti pada 23 Jun ini.
Turut menyatakan hasrat bertanding jawatan sama ialah Ketua Wanita UMNO Silam, Mizma Appehdullah manakala Ketua Wanita UMNO Kota Kinabalu, Datuk Rosimah Zakaria menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita.
Selain itu, Naib Ketua Wanita, Datuk Azizah Mohd. Dun turut menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO menjadikan empat pemimpin Wanita UMNO dari Sabah menawarkan diri bertanding merebut pelbagai jawatan dalam di peringkat Pusat.
Jainab yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sepanggar berkata, keputusan bertanding di peringkat Pusat adalah bagi memastikan Wanita UMNO Sabah mempunyai wakil dalam kepemimpinan tertinggi parti.
“Saya sendiri akan mempertahankan jawatan Exco Wanita manakala Azizah pula sebelum ini mengumumkan bertanding jawatan Ketua Wanita.
“Selain itu Mizma dan Rosimah pula menyatakan hasrat untuk bertanding bagi jawatan Exco dan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Wanita UMNO Sabah dan majlis berbuka puasa dihadiri Ketua Wanita UMNO bahagian dari seluruh negeri, di sini, semalam.
Menurutnya, Azizah dan semua Ketua Wanita UMNO bahagian seluruh Sabah akan bekerja keras bagi memastikan UMNO bangkit semula dengan menyemai kembali semangat demi agama, bangsa dan tanah air.
“Saya juga meminta semua ahli Wanita UMNO Sabah, terutama di peringkat akar umbi untuk mengekalkan semangat perjuangan dan setiakawan dalam parti keramat UMNO,” katanya.
Jawatan Ketua Wanita UMNO negeri sebelum ini kosong apabila penyandangnya, Datuk Armani Mahiruddin mengumumkan meletak jawatan dan keluar parti pada bulan lalu serta menzahirkan untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).










