KUALA LUMPUR 22 Jun – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan bersama 23 wanita warga asing dalam Op Noda di sebuah pusat karaoke di Persiaran Mahogani, Kota Damansara, dekat sini malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, operasi berkenaan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan tersebut.
“Siasatan awal mendapati lelaki warga tempatan itu berperanan sebagai penjaga kepada 23 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan di pusat karaoke tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ku Mashariman memberitahu, kesemua tangkapan dibawa ke Lokap Pusat Shah Alam dan Balai Polis Kelana Jaya bagi tujuan siasatan.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta imigresen 1956/1963 dan Akta Imigresen 1963. – UTUSAN ONLINE










