KONVOKESYEN ke-60 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berlangsung pada April lalu, turut menyaksikan seramai 1,116 graduan dari Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM (UTMSpace) berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah.
Bersempena konvokesyen, lazimnya UTMSpace akan mengadakan majlis khas untuk meraikan graduan cemerlangnya. Namun, tahun ini buat pertama kalinya, majlis diadakan dengan menggabungkan graduan cemerlang daripada dua buah program utama UTMSpace iaitu Program Pengajian Separuh masa dan Program Kerjasama.
Majlis Anugerah Graduan Cemerlang bagi kedua-dua program tersebut telah diadakan pada 27 April lalu di Hotel Impiana, Senai, Johor Bahru dan ia disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UTMSpace, Prof. Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim.
Tiga kategori telah disediakan pada majlis anugerah tersebut iaitu Anugerah Dekan dengan 93 penerima, Hadiah Akademik UTMSpace (30 penerima) dan Hadiah Khas UTMSpace (13 penerima).
Tahun ini, seramai 532 graduan Pengajian Separuh Masa berjaya menamatkan pengajian mereka dan daripada jumlah tersebut, seramai 79 graduan menerima Anugerah Dekan UTMSpace kerana berjaya memperoleh ijazah kelas pertama.
Bagi Program Kerjasama UTMSpace pula, seramai 584 graduan berjaya menamatkan pengajian dengan 14 graduan turut menerima Anugerah Graduan Cemerlang atas kecemerlangan akademik mereka.
Turut diumumkan adalah beberapa kategori bagi Hadiah Khas UTMSpace iaitu Kategori Suami Isteri, Kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan Penerima Anugerah Graduan Cemerlang Program Pengajian Separuh masa.
Bagi kategori OKU, seramai tiga graduan terpilih memenangi hadiah khas tersebut iaitu graduan program Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia), Nik Izyan Nik Omar Al Haded yang cacat penglihatan, graduan program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Wan Qatrunnada Wan Zabidi (kecacatan fizikal) dan graduan program Sarjana Muda Sains Komputer (kejuruteraan Perisian), Mohd. Zaidi Mohd. Yusoff.
Manakala seramai 18 orang graduan iaitu sembilan pasangan menerima anugerah bagi kategori suami isteri.
Selain itu, Noor Wahida Sulaiman yang merupakan graduan Program Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) diumumkan sebagai penerima Anugerah Graduan Cemerlang bagi Program Pengajian Separuh Masa kerana berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89.
Pada masa sama, seramai 13 graduan diploma dan seorang graduan ijazah daripada Kolej Kerjasama dianugerahkan sebagai graduan cemerlang dalam majlis tersebut.
Mereka adalah graduan program Diploma Sains Komputer (Multimedia), Chen Hui Ying diikuti graduan program Diploma Sains Komputer, Muhammad Ammar Ibrahim dan graduan Diploma Pengurusan Teknologi, Ramlin Jati Abdullah. Ketiga-tiga penerima adalah graduan daripada Kolej Kerjasama yang berkolaborasi dengan UTMSpace.
Sementara itu. Dr. Mohd. Azraai dalam ucapannya turut menekankan bahawa budaya pembelajaran sepanjang hayat amat penting dalam perkembangan semasa yang berteraskan teknologi.
Menurut beliau, budaya pembelajaran sepanjang hayat memastikan masyarakat kekal peka terhadap perkembangan dunia dan keperluan industri, di samping meningkatkan daya saing dan keupayaan seseorang melalui kemahiran dan pengetahuan baharu.
Katanya, konsep Revolusi Industri 4.0 telah mula menampakkan peranannya dan perubahan itu telah pun berlaku dan bakal berkembang pesat pada masa akan datang disebabkan ledakan teknologi, pertukaran iklim serta perubahan demografi sosioekonomi di serata dunia.










