TANGKAK- Seorang warga emas dari Kampung Sagil Parit 1 di sini, mencuri tumpuan ramai apabila menjadi antara pengundi paling ‘otai’ melaksanakan tanggungjawabnya bagi kali ke-14.
Ngadiah Kasiman, 100, mengakui gembira dan terharu lantaran dirinya masih berpeluang mengundi tanpa gagal sejak PRU pertama lagi.
Wanita itu yang hadir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sagil Kampung, di sini dengan ditemani empat lagi ahli keluarganya terdiri daripada anak, menantu dan cucu.
Menurut cucunya, Mohamad Sharezal Ahmad Omar, 38, kesungguhan dan semangat neneknya untuk membuang undi itu memang tidak dinafikan meskipun dalam keadaan uzur.
“Walaupun dia dah berusia, tapi nenek tetap nak mengundi sebab dia tahu nilai satu undi itu adalah sangat bermakna bagi masa depan negara. Dia tak jadikan alasan walaupun sedar keadaan diri dan tahap kesihatannya tidaklah begitu baik.
“Syukur kerana segalanya berjalan lancar dan gembira kerana kami sekeluarga khususnya nenek dapat bersama-sama melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur. – K! ONLINE










