PRU-14 menyaksikan sejarah baharu tercipta dengan kebanggaan apabila peralihan kuasa berlaku secara baik dan dunia boleh melihat rakyat Malaysia sudah matang dalam hal menentukan kerajaan.
Sampailah masanya ahli-ahli UMNO juga berani dan matang membuat peralihan pucuk kepemimpinan dari generasi yang agak berumur kepada generasi muda di bawah 45 tahun.
Khairy Jamaluddin sebagai contoh pemimpin muda yang masih bertenaga dan mempunyai kaedah semasa untuk menyelami kehendak serta citarasa rakyat.
Sudah pun terbukti, pemimpin UMNO berusia ketinggalan dalam arus media sosial dan masih mengguna pakai kaedah lama dan lambat untuk faham apa yang rakyat mahu.
Kita tidak menafikan jasa pemimpin berusia tetapi generasi muda lebih ada tenaga untuk seiring dengan tuntutan rakyat terutama bilangan pengundi muda sudah mencecah jutaan.
Suara orang muda perlu disantun dengan gaya orang muda, bukan dengan gaya lama.
UMNO masih relevan dengan parti Melayu kerana ramai generasi muda Melayu yang bersemangat untuk membela bangsa terutama dalam keadaan realiti. Masih ramai pemuda Melayu masih perlu dibantu untuk maju dalam ekonomi.
AZHARI MD ZAIN,
Belia Melayu, Ipoh, Perak.










