KUALA LUMPUR 14 Mei – Waktu perkhidmatan di semua pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh negara disingkatkan 30 minit sepanjang bulan Ramadan ini.
LHDN memaklumkan, waktu operasi perkhidmatan itu diselaraskan dengan memendekkan waktu rehat tengah hari daripada satu jam kepada 30 minit supaya tempoh masa perkhidmatan biasa tidak terjejas.
“Pejabat cawangan di semua negeri kecuali Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan, waktu operasi di kaunter perkhidmatan adalah pada Isnin hingga Khamis bermula 8 pagi hingga 4.30 petang.
“Manakala di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu pula akan bermula pada 8 pagi hingga 4.30 petang bagi hari Ahad hingga Rabu manakala 8 pagi hingga 3.30 petang pada Khamis bagi semua urusan khidmat nasihat percukaian,” kata LHDN dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, semua perkhidmatan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan bermula 7.30 pagi hingga 4 petang.
“Perubahan waktu operasi itu bagaimanapun tidak meliputi kaunter perkhidmatan LHDN di pusat transformasi bandar (UTC) kerana operasi tersebut tertakluk kepada ketetapan waktu bekerja oleh Kementerian Kewangan Malaysia,” kata kenyataan itu.
Selain di kaunter perkhidmatan, mereka juga boleh berurusan melalui perkhidmatan elektronik dengan melayari www.hasil.gov.my. – UTUSAN ONLINE











