KUALA LUMPUR 13 Mei – UMNO perlu meletakkan muka-muka baharu dalam kepemimpinannya bagi memastikan parti itu dapat menarik pengundi muda yang kini merupakan golongan majoriti yang keluar mengundi.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr. Abdul Aziz Rahman berkata, usaha meremajakan UMNO perlu direalisasikan bukan sahaja secara fizikal tetapi secara dalaman dan jiwa parti itu sendiri bagi memastikannya tidak lagi dipandang sebagai sebuah entiti berasingan dengan rakyat khususnya anak muda.
Menurutnya, UMNO juga perlu sedar bahawa landskap politik di negara ini sudah berubah dan tidak lagi seperti dahulu semasa tiada internet serta media sosial yang menjadi rujukan utama rakyat.
“Parti ini sudah berumur 72 tahun. Rakyat sudah nampak UMNO sebagai satu parti yang lemah, penat dan tidak bersemangat. Jadi satu-satunya cara untuk rakyat memilih UMNO semula adalah dengan buat perubahan drastik.
“Sekarang bukan lagi zaman perang ideologi, tetapi rakyat lebih mementingkan nilai-nilai universal seperti ketelusan, kecekapan tadbir urus, sikap amanah serta slogan-slogan yang menyentuh emosi, jiwa hati rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, UMNO tidak boleh lagi mengambil pendekatan terlalu selesa dan lambat bertindak dalam memastikan keutuhan parti keramat berkenaan tidak terjejas.
![]() |
|
Mustapha Yaakub
|
“Mereka tidak boleh lagi menunggu lebih lama kerana ini akan membenarkan lebih ramai lagi ahli lompat parti, keluar parti dan berpaling tadah. Mesyuarat tergempar harus dibuat untuk menentukan hala tuju parti.
“Walau apa pun terjadi, pastikan dahulu kekukuhan sokongan dalaman parti dan akar umbi, baharulah fikir strategi untuk kita sama-sama dapat berjuang dalam pilihan raya seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Mohd. Rozali Isohak berkata, peletakan jawatan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden semalam adalah satu langkah terbaik sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Ahli-ahli UMNO perlu menerima hakikat bahawa parti telah tewas dalam PRU-14. Kini kepemimpinan baharu parti perlu menguatkan diri dan membulatkan hati untuk membawa UMNO ke zaman kegemilangannya dahulu,” katanya.











