[VIDEO] Buta tidak halang panggang ayam - Utusan Malaysia

[VIDEO] Buta tidak halang panggang ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 24 Mei – Siapa sangka seorang lelaki yang kehilangan daya penglihatan masih dapat memanggang ayam madu yang enak dijual di gerai ‘Wak Legend Double D’ Bazar Ramadan Metrocity di sini.

Walaupun tidak dapat melihat sejak 2005 akibat katarak, Rajit Hairani atau lebih dikenali Wak, 44, masih mampu menjadi tukang panggang ayam dengan pengalaman lebih 20 tahun.

Menurutnya, dia sudah terbiasa memanggang ayam kerana pekerjaan itu menyeronokkan kerana dapat berjumpa dengan ramai pembeli meskipun dia kini sudah tidak dapat melihat lagi.

Katanya, rutin hariannya tetap berjalan seperti biasa iaitu majikannya, Rahani Omar, 60, bersama anak-anaknya akan menjemputnya di rumah pukul 10 pagi dan memulakan perniagaan di bazar kira-kira sejam kemudian sebelum tutup menjelang waktu berbuka.

“Alhamdulillah, keluarga majikan sangat bermurah hati kerana masih lagi menginginkan khidmat memanggang ayam saya meskipun sudah tidak dapat melihat lagi.

“Pendapatan yang diterima juga dapat sedikit sebanyak membantu saya membesarkan lima anak dan seorang isteri,” katanya ketika ditemui Utusan Online, di sini hari ini.

Tambahnya, kini situasi agak berbeza kerana pergerakannya sedikit perlahan namun kerana sudah terbiasa, dia dapat menyesuaikan diri cuma perlu lebih berhati-hati bagi mengelak tidak tersentuh permukaan panas yang boleh mendatangkan kecederaan.

“Mula-mula agak kekok juga sehingga pernah tercedera akibat melecur kerana terpegang permukaan pemanggang yang panas namun sekarang ini sudah baik-baik sahaja,” ujarnya.

Jelasnya, biarpun tidak nampak namun dia dikurniakan penglihatan daripada mata hati untuk memanggang ayam dengan sempurna.

“Saya mengetahui ayam itu sudah masak, dengan mencium bau, mendengar titisan minyak yang keluar daripada ayam dan merasakan kekuatan api selepas 30 minit memanggang,” ujarnya.

Sementara itu, pengusaha ayam panggang madu ‘Wak Legend Double D’, Mohamad Denny Jawi Mohd. Davani, 34, memberitahu, resepi ayam panggang madu ini daripada ibu saya dan alhamdulillah purata terjual setiap hari 55 hingga 60 ekor ayam.

“Bandingkan ayam kami dengan yang lain lebih segar dengan madu dan gula apong yang masih mempunyai jus ayam itu,” jelasnya.

Bagi mereka berminat untuk merasai keenakan ayam panggang madu ‘Wak Legend Double D’ dijemput datang ke bazar itu bermula pukul 10 pagi atau sebarang tempahan boleh menghubungi di talian 011-14052993 atau ke laman Facebook Deniey Davani. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN