KITA kini sentiasa sibuk dan disibukkan dalam kehidupan seharian baik dalam aspek kekeluargaan, kerjaya mahupun kemasyarakatan. Malahan perkembangan teknologi semasa menjadikan kita semakin tenggelam dalam arus kemodenan yang memerlukan segala perkara dilakukan dengan pantas.
Hal sedemikian menjadikan kita mudah lupa atau mungkin buat-buat lupa terhadap perkara-perkara kecil dan ringkas tetapi memberi impak yang sangat besar dalam kehidupan kita.
Siapa sangka bahawa perkara-perkara kecil tersebut adalah ungkapan mudah seperti ‘terima kasih’, ‘mohon bantuan’ dan ‘maaf’ yang semakin hilang dari kehidupan harian kita.
Cuba kita imbas kembali dalam tempoh beberapa hari lepas, bila kali terakhir kita mengucapkan ungkapan–ungkapan tersebut? Jika ada, berapa kerap kita lakukan?
Adakah kita memilih situasi atau individu tertentu sahaja untuk melafazkan ungkapan ringkas tersebut? Adakah kita benar-benar ikhlas atau sekadar mempunyai niat tertentu?
Tiga ungkapan mudah itu adalah ungkapan keramat yang kadangkala sangat sukar dilafazkan. Namun, tindakan mengungkapkan kata-kata ajaib itu dapat memberikan impak yang sangat besar dalam urusan seharian kita.
Saya pernah memerhatikan beberapa kali urusan di sebuah organisasi awam dan didapati ramai orang awam mahupun pegawai kaunter lupa atau tidak mahu mengucapkan terima kasih.
Acapkali, urusan tanpa adanya ungkapan mudah itu berlangsung dalam suasana yang kurang menyenangkan dan dalam keadaan tertentu semakin tegang. Adakah kita semakin miskin budi bahasa?
Dengan sedikit senyuman dan ucapan terima kasih dari kedua-dua belah pihak, emosi dan suasana urusan kaunter sebenarnya boleh berubah dengan mendadak ke arah lebih positif, lancar dan pantas.
Walaupun bahasa dan tindakan itu ringkas, ini sudah cukup untuk mendorong individu yang berurusan dengan kita membantu melancarkan proses atau memburukkan keadaan jika timbul rasa tidak puas hati.
Nilai-nilai murni seperti kesopanan nampaknya semakin lama semakin terhakis dalam kalangan kita khususnya generasi muda. Penghormatan dan penghargaan seharusnya dimulakan dengan kata-kata mudah tersebut.
Komunikasi seharian akan menjadi lebih bermakna dengan amalan melafazkan ungkapan tersebut tanpa mengira kepada siapa sekalipun yang berurusan dengan kita.
Ia merupakan suatu penghargaan mudah tetapi sangat bernilai kepada si penerima ungkapan tersebut. Sungguhpun teknologi banyak menguasai urusan kehidupan, nilai komunikasi masih perlu bersifat kemanusiaan.
Kajian mendapati kita lebih banyak berkomunikasi dengan gajet jika dibandingkan dengan manusia. Melalui teknologi, ungkapan tersebut telah digantikan dengan simbol tertentu. Maka, aspek komunikasi menggunakan teknologi sedikit sebanyak semakin menghakis nilai kemanusiaan kita.
Ingatlah, kita adalah apa yang kita tuturkan. Jadikan amalan mengucapkan ungkapan-ungkapan ringkas tersebut sebagai suatu budaya. Mudah tetapi sangat signifikan, memberi kebahagiaan dan mencetuskan keharmonian komunikasi seharian. Saya yakin pasti muncul lebih banyak kebaikan hasil daripada ungkapan ringkas ‘terima kasih’, ‘mohon bantuan’ dan ‘maaf’.
DR. SITI MISTIMA MAAT
Bangi









