SEDANG namanya mula meniti pada bibir peminat drama Melayu tempatan ekoran keberkesanan lakonan yang digalasnya menerusi drama Nur, Syafiq Kyle, 26, diuji dengan dugaan paling berat sepanjang hidupnya.
Sejak Ahad lalu, beberapa klip video berdurasi kurang dua minit memaparkan seorang jejaka mirip dirinya dalam keadaan tanpa pakaian tersebar luas di internet, sekali gus menjadi tanda tanya kepada peminat.
Membiarkan petugas media memburunya untuk mendapatkan penjelasan langsung daripadanya, Syafiq menggagahkan diri bertentang mata menjawab spekulasi yang diperkata itu.
Ikuti temu bual wartawan Mega HITS dengan anak kelahiran Kuala Lumpur itu dalam satu pertemuan dengan pihak media yang diaturkan oleh syarikat pengurusannya, Mask Team di sebuah hotel di ibu kota pada malam Selasa lalu.
MEGA HITS: Sejujurnya, bagaimana reaksi Syafiq sebaik sahaja mendapat tahu video tersebut tular? Syafiq: Sebenarnya saya pernah dimaklumkan terlebih awal oleh beberapa orang kenalan mengenai kewujudan video tersebut kira-kira dua tahun lalu.
Namun saya tidak pasti dakwaan mereka benar-benar sahih kerana saya hanya mendapat bayangan sahaja.
Saya juga tidak menerima sebarang ugutan atau ancaman sehinggalah pada hari video tersebut disebarkan untuk tatapan umum, baru saya tahu.
Macam mana pula respons ahli keluarga Syafiq?
Saya bukan nak bercakap besar tetapi saya berbangga kerana dianugerahi sebuah keluarga yang kuat memberikan sokongan kepada saya.
Sejak mula melangkahkan kaki dalam bidang ini, jatuh bangun saya, mereka sentiasa ada di sisi.
(Pun begitu) Walaupun saya tidak bersama-sama mereka tetapi saya tahu kedua-dua ibu bapa saya menangis sebaik sahaja mereka mengetahui tentang hal tersebut.
Adakah gerangan lelaki yang dilihat di dalam video tersebut Syafiq atau siapa?
Objektif sidang media ini adalah untuk meneruskan kehidupan dan menghormati Ramadan.
Saya adalah insan bertanggungjawab membuat keputusan sama ada untuk memendekkan atau memanjangkan isu ini. Jadi, saya pilih untuk menghentikannya.
Ini adalah jawapan muktamad serta terakhir daripada saya dan enggan mengulas mengenainya lagi.
Tetapi penjelasan Syafiq ini tidak memberi sebarang jawapan. Adakah anda mahu peminat terus membuat spekulasi?
Terpulanglah kepada orang luar untuk membuat sebarang kesimpulan dan spekulasi sendiri.
Namun saya bersyukur diuji sebegini kerana boleh mematangkan diri saya pada masa akan datang.
Siapa Mira yang dikaitkan dalam rakaman video itu?
Mungkin saya pernah kenal individu bernama Mira itu. Tetapi cukuplah setakat ini, saya tidak mahu memanjangkannya.
Bagaimana pula syot layar (screenshot) perbualan anda dengan seorang lelaki menerusi laman instagram yang cuba mengugut anda?
Saya tegaskan, lelaki itu langsung tidak saya kenali.
Apatah lagi ketika isu video ini timbul, saya fokus untuk mencari jalan penyelesaian.
Jadi, saya membiarkan isu yang ditimbulkan lelaki berkenaan begitu sahaja. Langsung tak ambil peduli.
Apa tindakan seterusnya yang bakal anda lakukan?
Saya dan pihak pengurusan sedang mendapatkan khidmat nasihat peguam berhubung kes ini.
Sebaik sahaja pihak peguam menjelaskan langkah yang perlu diambil, barulah kami memulakan tindakan selanjutnya.










