KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) memperuntukkan pelaburan modal (capex) bernilai RM18.8 bilion bagi tempoh tiga tahun bermula tahun ini di bawah program Tempoh Pengawalseliaan kedua yang akan digunakan untuk tujuan penambahbaikan transmisi dan grid pengedarannya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, daripada nilai itu, sebanyak RM2.7 bilion akan dilaburkan di bawah teknologi Grid Masa Depan dalam tempoh tiga tahun.
“Teknologi tersebut berupaya membantu menambah baik kebolehpercayaan dan keberkesanan grid.
“Ia termasuk bagi pemasangan sejumlah 340,000 meter pintar di Melaka dan pemasangan tambahan 1.2 juta meter pintar di Lembah Klang.
“Pelaburan tersebut adalah sejajar dengan langkah pendigitalan yang sedang dilaksanakan oleh TNB, seiring dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TNB ke-28 di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Kewangannya, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin.
Mengenai usaha pendigitalan TNB, Azman berkata, syarikat memberi penekanan terhadap segmen-segmen kritikal seperti perkhidmatan pelanggan dan pengedaran.
“Ini kerana dua bidang ini adalah yang paling banyak menerima kesan daripada proses digitalisasi.
“Disebabkan itu, syarikat memperuntukkan pelaburan yang signifikan untuk menambah baik kedua-dua segmen berkenaan,” jelasnya.










